Thursday, February 4, 2010

PANTAU PARAS GLUKOSA DARAH ANDA


Oleh :

PROF. EMERITUS DATUK MUSTAFFA EMBONG
(Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI)

BAYANGKAN diri anda cukup sihat untuk melakukan semua yang anda inginkan dalam kehidupan, seperti memulakan perniagaan sendiri, melancong mengelilingi dunia setelah bersara, melihat cucu-cucu anda membesar.

Semua ini boleh berlaku walaupun anda menghidap diabetes. Asalkan anda boleh menguruskan diabetes dengan sempurna, anda boleh yakin akan dapat mengalami kehidupan yang bermakna seperti jua mereka yang tidak menghidap diabetes.

Pengurusan diabetes yang baik bermula dengan mengetahui dan seterusnya mengawal paras glukosa darah anda. Dengan mengamalkan pemantauan sendiri paras glukosa darah (SMBG) di rumah, anda sentiasa akan boleh mengetahui paras glukosa darah anda.

SMBG merupakan suatu prosedur yang sangat mudah yang melibatkan mencucuk hujung jari anda dengan jarum khas yang dipanggil lanset dan kemudiannya menjalankan ujian kepada titisan darah dengan sebuah meter glukosa darah (glukometer). Glukometer akan memberikan bacaan paras glukosa darah anda yang terkini. 
 
Kawalan yang lebih baik dengan SMBG

Kajian telah berkali-kali menunjukkan bahawa mereka yang mengamalkan SMBG secara kerap dapat menguruskan paras glukosa darah dengan lebih baik. Ini boleh disahkan dengan paras HbA1c yang baik (sila lihat rencana berkotak di bawah).

Kawalan ketat sedemikian adalah sangat penting untuk pencegahan dan/atau melambatkan terjadinya komplikasi-komplikasi diabetes. Seperti yang telah anda baca dalam artikel kami sebelum ini yang telah dipaparkan pada Hari Jantung Sedunia, iaitu 30 September 2007, pengurusan diabetes yang tidak sempurna akan mengakibatkan banyak komplikasi, terutama sekali penyakit jantung.

Mari lihat statistik-statistik berikut :

1. Penghidap diabetes adalah 2 hingga 4 kali lebih cenderung untuk terkena penyakit jantung atau strok berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes
 
2. 2 daripada 3 orang yang menghidap diabetes, terutama jika tidak dikawal dengan baik, akan meninggal dunia akibat penyakit jantung atau strok.
 
3. Mereka yang menghidap diabetes lebih cenderung untuk meninggal dunia akibat serangan jantung berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.
 
4. Bagi mereka yang menghidap diabetes, serangan jantung biasanya berlaku lebih awal dan berkemungkinan besar akan mengakibatkan kematian.

Diabetes yang tidak diuruskan dengan baik juga akan membawa kepada banyak lagi komplikasi lain.

Projek Pengumpulan Data Penjagaan Diabetes (kajian DCDCP) yang dijalankan di seluruh Malaysia pada tahun 1997 telah mendapati bahawa 53 peratus daripada penghidap diabetes telah mendapat retinopati diabetes (yang akan menyebabkan buta), 58 peratus telah menderita akibat neuropati (punca utama amputasi kaki) dan 52 peratus pula mempunyai mikroalbumin di dalam urin, yang bermakna mereka mengalami kerosakan buah pinggang.

Melihatkan bagaimana banyak jenis komplikasi diabetes yang boleh merampas kehidupan bermakna seseorang itu, anda mungkin akan membuat anggapan bahawa SMBG mesti sedang diamalkan secara meluas oleh rakyat Malaysia.

Malang sekali, mengikut kajian DCDCP, hanya 0.6 peratus daripada penghidap diabetes mengaku ada memantau glukosa darah mereka secara kerap!

Menerusi artikel ini, kami berharap dapat menggalakkan anda untuk mula mengamalkan pemeriksaan sendiri glukosa darah (SMBG) anda secara kerap sebagai satu langkah pertama ke arah kesedaran bahawa anda boleh mengawal diabetes anda dengan mudah walaupun ia merupakan penyakit yang serius.

Tip bagi mereka yang ingin mengamalkan SMBG :

1. Membuat keputusan untuk memantau setiap hari. Anda perlu memantau glukosa darah anda sekurang-kurangnya sekali dalam sehari. Anda boleh menambah kekerapannya secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha anda untuk mengetatkan kawalan diabetes anda.

Setelah paras glukosa darah optimal dicapai, anda mungkin boleh mengurangkan kekerapan pemantauan kepada sekali dalam 3-4 hari, terutama jika anda mempunyai diabetes jenis 2.

2. Maklumkan doktor anda. Doktor anda pasti gembira mendengar bahawa anda telah membuat keputusan untuk mengamalkan SMBG.

Bagi memastikan anda mendapat manfaat daripada SMBG, doktor atau pendidik diabetes anda akan menjelaskan sasaran paras glukosa darah anda yang sepatutnya, bergantung kepada keadaan diabetes anda.

Secara amnya, paras lingkungan yang sihat adalah di antara 4 mmol/L - 6 mmol/L (sebelum makan) dan kurang 8 mmol/L (dua jam selepas makan).

3. Membeli sebuah glukometer. Terdapat banyak model di pasaran dan anda perlu memilih yang paling sesuai untuk anda. Selain daripada harganya, anda juga perlu melihat ciri-ciri pada setiap model seperti saiz, berat, kemudahan penggunaan serta kesenangan untuk dibawa ke mana-mana. Terdapat sesetengah meter yang amat canggih di mana ia hanya memerlukan sedikit darah sahaja (diambil dari hujung jari atau kawasan lain) untuk memberikan anda keputusan yang cepat serta tepat.

Banyak juga yang mempunyai memori yang dapat merekod paras glukosa darah anda dan ini akan membolehkan doktor/pendidik diabetes anda menyemaknya. Jangan lupa meminta suatu demonstrasi sebelum membeli meter tersebut. Jika perlu, dapatkan bantuan doktor atau pendidik diabetes untuk membuat saranan.

4. Catatkan keputusan anda. Catatkan semua keputusan anda dalam buku nota yang khusus untuk tujuan pemantauan ini. Catatkan hari, tarikh, masa, sama ada sebelum atau selepas waktu makan, serta sama ada selepas suatu aktiviti fizikal (seperti sesi senaman).

Anda juga perlu merekod simptom anda (seperti pening-pening, berdebar) jika ada, dan jenis makanan yang diambil serta jenis senaman agar anda boleh bandingkannya dengan paras glukosa darah dan mengambil tindakan susulan sewajarnya (sila lihat di bawah).

5. Gredkan keputusan anda. Berikan gred untuk setiap keputusan di dalam buku nota anda sebagai ‘Tinggi’, ‘Normal’ atau ‘Rendah’ berbanding dengan paras sasaran glukosa darah yang doktor anda telah tentukan untuk anda.

Maklumkan kepada doktor atau pendidik diabetes dengan segera jika anda mendapati bacaan anda adalah terlalu tinggi atau terlalu rendah kerana anda mungkin menghadapi suatu kecemasan diabetes. Adalah lebih baik untuk lebih berhati-hati daripada terkena sakit.

6. Selaraskan diet atau aktiviti fizikal anda. Keputusan anda akan menunjukkan bagaimana paras glukosa darah anda terjejas akibat apa yang anda makan atau lakukan sebelum membuat pemantauan. Contohnya, anda mungkin mendapat bacaan yang ‘Tinggi’ dua jam selepas makan tengah hari akibat pengambilan karbohidrat yang berlebihan.

Ini akan mendorong anda untuk mengkaji semula dari mana datangnya karbohidrat tersebut agar anda boleh mengurangkan hidangan atau menukar kepada alternatif lain pada masa akan datang. Jika anda mendapat bacaan yang agak rendah selepas bersenam, maka anda mungkin perlu mengurangkan intensiti senaman untuk sesi senaman yang seterusnya.

7. Menganalisis keputusan anda selepas suatu jangkamasa. Setelah menjalankan SMBG secara kerap selama beberapa minggu, minta doktor atau pendidik diabetes anda untuk menunjukkan cara menterjemahkan keputusan bagi sehari, seminggu dan seterusnya untuk sebulan. Adakah paras anda sentiasa tinggi atau adakah ia semakin menurun dan menghampiri sasaran?

Adakah terdapat sebarang kenaikan atau penurunan yang mendadak? Pemerhatian-pemerhatian sedemikian adalah sangat penting kepada doktor anda kerana ia akan mendorong beliau untuk mengubah pelan penjagaan diabetes anda serta mengkaji sebarang kebimbangan lain yang berkaitan, jika perlu.

Seperti yang selalu dikatakan, pengetahuan itu kuasa untuk diri. Walaupun ia merupakan satu pengetahuan dan amalan yang sangat mudah, namun pemantauan sendiri glukosa darah (SMBG) adalah sangat penting untuk memberikan kuasa meyakinkan anda untuk mengawal diabetes anda, mencegah komplikasi serta memastikan anda dapat menikmati kualiti hidup yang sempurna untuk jangka masa yang lama.

Pemantauan sendiri glukosa darah SMBG & HbA1c

Walaupun anda sedang mengamalkan SMBG di rumah, setiap 3-4 bulan doktor anda akan menjalankan sejenis ujian darah untuk menilai paras HbA1c (kompleks hemoglobin berglukosa) anda.

Doktor anda akan berpandukan kepada keputusan ini untuk melihat sama ada pengawalan glukosa darah anda selama 2 atau 3 bulan yang lepas memuaskan atau sebaliknya. HbA1c terbentuk apabila glukosa dalam darah menggabungkan dirinya dengan hemoglobin dalam sel-sel darah merah.

Secara ideal, HbA1c perlu berada di bawah 6.5 peratus jika anda menghidap diabetes jenis 2 (dan kurang dari 7 peratus bagi mereka yang menghidap diabetes jenis1). Paras HbA1c yang sentiasa tinggi adalah dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi bagi terjadinya komplikasi diabetes.

Dengan mengamalkan SMBG secara kerap, membuat perubahan gaya hidup yang sihat serta bekerjasama rapat dengan doktor (dan pendidik diabetes) anda untuk mencapai paras sasaran glukosa darah anda, anda pasti boleh mencapai HbA1c yang terbaik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...