Thursday, February 4, 2010

KEHAMILAN SIHAT UNTUK PESAKIT DIABETES

 
Oleh : PROF. MUSTAFFA EMBONG

SEBELUM hamil, anda telah dipantau oleh kumpulan pakar penjagaan diabetes mengenai rancangan penjagaan prakehamilan untuk menguruskan diabetes anda dan masalah-masalah kesihatan lain.

Sekarang, apabila anda telah hamil, anda perlu terus berkerjasama dengan kumpulan pakar-pakar ini bagi memastikan semula matlamat kehamilan anda.

Selain memastikan perhubungan yang kerap dengan mereka melalui telefon atau e-mel, anda juga perlu berjumpa dengan kumpulan pakar penjagaan diabetes anda sekurang-kurangnya sekali setiap satu hingga dua bulan.

Pertemuan haruslah lebih kerap pada permulaan kehamilan dan apabila hampir kelahiran, untuk memastikan tahap kesihatan anda dan bayi.

Pakar perunding diabetes akan membimbing anda menguruskan paras glukosa darah supaya sentiasa berada dalam paras yang disarankan sepanjang tempoh kehamilan.

Pakar obstetrik pula akan memantau perkembangan bayi dan sebarang komplikasi-komplikasi kehamilan yang mungkin berlaku seperti praeklampsia, satu keadaan yang berkait dengan tekanan darah tinggi.

Jika tidak dirawat segera, ia boleh menimbulkan satu keadaan serius yang dikenali sebagai eklampsia, yang membahayakan nyawa ibu dan bayi. Jika praeklampsia serius berlaku, bayi anda mungkin perlu dilahirkan lebih awal.

Secara umumnya, para ibu yang mengawal diabetes dengan baik terutamanya yang tidak menggunakan bantuan insulin, dapat melahirkan bayi secara normal dengan selamat.

Bagaimanapun, kebanyakan pakar obstetrik mencadangkan supaya para ibu yang menghidap diabetes melahirkan bayi mereka lebih awal iaitu di antara minggu 38 ke 39, terutamanya apabila bayi semakin membesar.

* Memastikan Penambahan Berat Badan Sesuai

Secara umum, pakar diet akan mengesyorkan pengambilan protein dan kalori serta pengambilan vitamin dan mineral yang secukupnya seperti asid folik, zat besi dan kalsium.

Anda juga akan dinasihatkan supaya mengambil sajian secara teratur dengan kuantiti karbohidrat yang secukupnya untuk mengelak dari terjadinya ketosis.

Selain itu, ambil snek ringan di antara sajian utama dan sebelum tidur untuk mengelakkan hipoglisemia (paras glukosa darah yang sangat rendah). Ketika hamil, anda perlu makan secara teratur bagi memastikan penambahan berat badan sesuai tercapai.

Untuk mencapai matlamat ini, anda perlu menyemak dahulu indeks jisim tubuh dengan cara mengira berat badan dalam kg dan dibahagikan dengan kuasa dua ketinggian dalam meter.

Jika keputusan yang diperoleh adalah di antara 20 dan 25 sebelum anda hamil, anda perlu menambah berat badan dalam lingkungan 9 hingga 16kg semasa tempoh kehamilan.

Jika IJT anda sebelum hamil adalah di antara 26 dan 29, anda disarankan menambah berat badan sebanyak 7 hingga 11kg.

Jika IJT melebihi 30, anda perlu menambah berat badan paling banyak 6 kg sahaja, manakala IJT yang kurang dari 20 bermakna penambahan sebanyak 12 hingga 18kg.

* Kekal Aktif Secara Fizikal

Senaman yang ringan ke sederhana dan kerap semasa kehamilan dapat membantu anda mencapai berat badan kehamilan yang sesuai dan mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang disarankan.

Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati dengan jenis latihan yang ingin dilakukan. Dengan berat tambahan yang anda perlu tanggung di bahagian pinggang, adalah baik sekiranya anda mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan anda terjatuh.

Cuba aktiviti seperti berjalan cergas, regangan badan dan mengangkat pemberat ringan.

* Tingkatkan Pengambilan Insulin

Semua wanita yang hamil, sama ada menghidap diabetes atau tidak, akan memerlukan lebih insulin berbanding sebelum kehamilan.

Ini disebabkan oleh plasenta yang membekalkan zat-zat nutrien dan tenaga kepada bayi turut menghasilkan hormon-hormon yang bertindak bertentangan dengan insulin menyebabkan badan memberikan lebih rintangan terhadap insulin.

Apabila plasenta semakin membesar, lebih banyak insulin diperlukan untuk mengatasi rintangan ini dan mengekalkan paras glukosa darah pada paras normal.

Jika anda penghidap diabetes tanpa insulin yang mencukupi, badan akan mula membakar lemak untuk menghasilkan tenaga menyebabkan glukosa darah dan keton meningkat tinggi di dalam aliran darah anda dan akan tertumpah ke dalam urin.

Jika tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan DKA (ketoasidosis diabetes) yang boleh membawa maut kepada ibu dan bayi. Oleh itu, adalah amat penting bagi anda untuk mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang disarankan sepanjang masa kehamilan iaitu melalui diet yang terancang, senaman yang kerap dan jika perlu, suntikan insulin.

Bagaimanapun, jika anda mengambil insulin tetapi ada mengalami muntah-muntah semasa trimester pertama kehamilan, doktor mungkin mengurangkan sedikit sukatan insulin anda.

Anda mungkin mendapati bahawa pengawalan diabetes menjadi stabil apabila anda memasuki trimester kedua kehamilan (empat hingga enam bulan) walaupun anda masih perlu meningkatkan sukatan insulin.

Menjelang trimester ketiga kehamilan (tujuh hingga sembilan bulan), diabetes anda kebiasaannya sudah stabil pada ketika ini. Tetapi, anda mungkin memerlukan insulin sebanyak dua kali ganda berbanding pada peringkat permulaan hamil.

* Kerap Memantau Paras Glukosa Darah Anda

Sebagai pesakit diabetes yang hamil, mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang disarankan sepanjang kehamilan adalah amat penting. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan komplikasi kepada kedua-dua ibu dan bayi.

Apabila anda hamil, paras sasaran glukosa darah yang ditetapkan adalah lebih ketat berbanding paras bagi orang biasa yang menghidap diabetes. Bagi menjamin paras yang ditetapkan, anda perlulah memeriksa paras glukosa darah anda sebaik-baiknya empat ke enam kali sehari.

Secara ideal, anda perlu memeriksa paras glukosa darah secara rutin iaitu sebelum dan dua jam selepas sajian utama (sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam) dan kadangkala pada waktu malam.

Jika anda mengambil insulin, adalah penting untuk melakukan pemeriksaan sebelum dan selepas bersenam. Paras glukosa darah anda akan berubah bergantung kepada apa yang anda makan, masa pengambilan insulin dan aktiviti fizikal yang anda lakukan.

Adalah baik jika anda membawa sedikit gula-gula atau biskut bersama anda, jikalau anda mengalami hipoglisemia.

Pengawalan paras glukosa darah dengan ketat di awal kehamilan (10-12 minggu pertama) adalah amat kritikal untuk bayi anda yang sedang membesar.

Struktur badan bayi sedang membentuk dan peningkatan glukosa darah pada tempoh ini boleh menyebabkan kerosakan struktur utama badan bayi dan akan menyebabkan kecacatan ketika kelahiran atau kematian sebelum lahir.

* Ambil Ubat Yang Dipreskripsi

Selain insulin, anda juga mungkin perlu mengambil ubat untuk masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi atau paras kolesterol darah tinggi. Sentiasalah pastikan dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan semasa kehamilan untuk memastikan ia tidak membahayakan bayi di dalam kandungan.

* Elakkan Merokok Dan Alkohol

Mengambil minuman beralkohol atau mengambil dadah yang diharamkan ketika hamil boleh menjejaskan bayi anda. Elakkan juga dari merokok atau terdedah kepada asap rokok walau sebagai perokok pasif.

* Kehamilan Dan Kelahiran Yang Sihat

Mengandung dan menghidap diabetes pada masa yang sama boleh menjadi satu cabaran yang memerlukan komitmen serta disiplin yang tinggi. Bagaimanapun, dengan kepakaran pasukan penjagaan diabetes anda dan sokongan daripada orang yang tersayang, tiada sebab mengapa anda tidak dapat menikmati kehamilan yang normal dan pengalaman melahirkan bayi yang sihat.

* Senarai Kehamilan Yang Sihat

Apa yang paling penting ketika kehamilan adalah menguruskan paras glukosa darah serta masalah kesihatan lain dengan baik supaya anda sentiasa berada dalam keadaan yang optimum untuk melalui kehamilan dan melahirkan bayi yang sihat.

Untuk mencapai matlamat itu, berikut adalah satu senarai semak yang anda boleh lakukan :
 
1. Saya memeriksa paras glukosa darah dengan kerap setiap hari dan ia berada dalam lingkungan yang disarankan oleh doktor (berpuasa 3-5 mmol/L dan 4-7 mmol/L dua jam selepas makan)
 
2. Saya mengekalkan diet yang seimbang (mempunyai kalori, protein, karbohidrat, serat dan lemak, vitamin dan mineral yang secukupnya) seperti yang dinasihatkan oleh pakar diet.
 
3. Saya aktif secara fizikal dan melakukan senaman ringan ke sederhana secara kerap.
 
4.Saya tidak mengambil alkohol (atau dadah yang diharamkan) atau menghisap rokok.
 
5. Saya mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsikan dan telah dipastikan dengan doktor bahawa ia adalah selamat kepada bayi dalam kandungan.
 
6. Saya sentiasa berhubung rapat dengan kumpulan pakar penjagaan diabetes dan telah berjumpa dengan doktor mengikut jadual yang ditetapkan.

Sekiranya kesemua jawapan anda berbentuk ‘ya’, tahniah! Anda semestinya di dalam perjalanan ke arah kehamilan yang sihat, tanpa komplikasi ketika kelahiran.
 
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...