Friday, February 12, 2010

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penyakit Kencing Manis



Kencing manis atau diabetes melitus ialah sejenis penyakit di mana badan mengeluarkan terlalu sedikit insulin atau insulin yang dikeluarkan tidak berkesan. Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah melebihi paras normal. Insulin pula adalah sejenis hormon yang dihasilkan dalam badan untuk mengekalkan paras normal gula. Akibat dari hormon insulin yang tidak mencukupi atau tidak berkesan maka gula tidak dapat memasuki dalam sel-sel badan dan seterusnya mengakibatkan paras gula darah yang tinggi.


Faktor Risiko Kencing Manis


Setiap orang boleh mendapat kencing manis tetapi sesetengah orang lebih mudah mendapat kencing manis. Faktor-faktor risiko kencing manis adalah kegemukan atau obesiti, kurang aktiviti kecergasan fizikal atau senaman, mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kencing manis, juga umur melebihi 35 tahun. Dari segi pemakanan pula, faktor-faktor risikonya adalah disebabkan pengambilan lemak berlebihan dalam makanan, pengambilan serat yang tidak mencukupi, kurang zat makanan di peringkat awal umur, juga kelahiran tidak cukup berat.


Tanda-tanda Kencing Manis

1. Kerap dahaga
 
2. Kerap kencing
 
3. Susut berat badan walaupun berselera makan
 
4. Terasa letih dan lesu
 
5. Luka atau cedera yang lambat sembuh
 
6.Gatal-gatal terutama di bahagian kemaluan

Antara Kesan Penyakit Kencing Manis : Gangrene dan Katarak.




Jenis-jenis Kencing Manis


Jenis 1


Bergantung sepenuh kepada insulin
 
1. Kebanyakkanya terjadi di kalangan kanak-kanak atau remaja.
 
2. Hanya boleh di kawal dengan suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman.
 
3. Terjadi kerana kekurangan insulin.
 
4. Ia mempunyai kaitan dengan keturunan atau ahli keluarga yang telah mengidapnya.

Jenis 2

1. Tidak bergantung dengan insulin
 
2. Selalu berlaku di kalangan orang dewasa yang berumur 40 tahun ke atas.
 
3. Individu yang mempunyai berat badan berlebihan.
 
4. Boleh di kawal dengan kawalan pemakanan dan senaman dan juga bantuan ubat-ubatan.

Kesan Penyakit Kencing Manis.


Penyakit kencing manis yang tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan kesan yang lebih serius. Antara kesannya ialah :

1. Kegagalan buah pinggang
 
2. Serangan jantung
 
3. Kebutaan / Katarak
 
4. Koma (hilang kesedaran)
 
5. Angin ahmar (strok)
 
6. Sakit saraf atau “mati pucuk”
 
7. ‘Gangrene’ atau anggota tubuh mati/membusuk

Penyakit kencing manis tidak boleh di sembuh tetapi ianya boleh dikawal. Untuk mengawalnya, kadar gula dalam edaran darah hendaklah sentiasa berada pada kadar normal. Selain itu kita hendaklah memberikan perhatian terhadap perkara-perkara berikut :

 
1. Pengambilan ubat atas nasihat doktor.
 
2. Pemakanan sihat.
 
3. Penjagaan berat badan.
 
4. Selalu bersenam.
 
5. Elakkan jangkitan.

Adalah lebih baik sekiranya penyakit kencing manis di cegah dari terjadi. Kaedah pencegahan yang terbaik adalah :
 
1. Mempunyai berat badan unggul.
 
2. Makan pelbagai jenis makanan.
 
3. Makan mengikut umur dan aktiviti fizikal.
 
4. Makan lebih buah-buahan, sayur-sayuran kekacang dan bijirin.
 
5. Makan dengan kerap tetapi dengan kuantiti yang sedikit.
 
6. Selalu melakukan senaman. 

Thursday, February 4, 2010

ANCAMAN DIABETES


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

LEDAKAN jumlah pesakit kencing manis pasti berlaku sekiranya penduduk dunia (termasuk kita) mengekalkan gaya hidup moden, tidak menjaga pemakanan, kurang memberi perhatian pada kesihatan dan jarang bersenam.

Pada peringkat global dianggarkan 154 juta orang dewasa yang berumur 20 tahun ke atas menghidap kencing manis pada 2000 dan dijangka meningkat kepada 300 juta orang menjelang 2025.

Peningkatan jumlah pesakit di negara sedang membangun sangat membimbangkan iaitu kadar 170 peratus berbanding 42 peratus di negara maju. Jika dari sekarang kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga, kita berisiko untuk masuk ke dalam perangkaan berkenaan.

Di negara kita sendiri pun jumlah pesakit kencing manis sudah semakin ramai dan seolah-olah menjadi satu kebiasaan walaupun ia sebenarnya dikategorikan salah satu penyakit kronik - yang tiada penawarnya.

Pengarah Perubatan Yayasan Jantung Malaysia, Datin Dr Liew Yin Mei, berkata kebanyakan pesakit kencing manis di negara ini juga menghadapi masalah obesiti sehingga ada yang menggelarkan penyakit mereka sebagai ‘diabesiti’. Katanya, obesiti akan meningkatkan kerintangan terhadap insulin (badan tidak dapat menggunakan insulin untuk ‘memproses’ gula dalam makanan) yang akhirnya boleh menyebabkan individu berkenaan mendapat kencing manis.

“Dalam keadaan lain, seseorang itu juga akan mendapat kencing manis jika mengalami masalah kelenjar pankreas yang tidak menghasilkan cukup insulin. Biasanya, sebelum mendapat kencing manis, pesakit akan mengalami fasa pra-diabetik atau kerintangan glukos terlebih dulu iaitu apabila gula dalam darah tidak dapat digunakan walaupun mempunyai cukup insulin.

“Bagi menangani masalah ini, kelenjar pankreas akan bekerja lebih kuat untuk menghasilkan insulin yang sehinggalah ia mengalami kerosakan. Namun dalam kebanyakan kes masalah kencing manis tidak menunjukkan sebarang gejala sehinggalah mencapai tahap serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancakan pil makanan tambahan peria, Diamelon anjuran CCM Duopharma Biotech Bhd. Hadir sama, Pengerusi dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman dan Datuk Mizanur Rahman Ghani.

Diabetes tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai komplikasi yang dibahagikan kepada komplikasi akut dan kronik. Komplikasi akut ialah gejala hipoglisemia (paras gula dalam darah yang terlalu rendah) dan koma.

Manakala komplikasi kronik pula membabitkan kerosakan salur darah (vaskular). Ia boleh merosakkan salur darah yang halus (mikrovaskular) yang menyebabkan pelbagai masalah seperti :

1. Buta atau retinopati (53 peratus)
 
2. Neuropati atau kerosakan saraf (58 peratus)
 
3. Mikroalbuminuria (kehadiran protein albumin dalam air kencing, 52 peratus)

Komplikasi makrovaskular pula membabitkan kerosakan salur darah yang besar dan boleh menyebabkan :

1. Penyakit jantung kronik (sembilan peratus)

2. Strok (enam peratus)

3. Penyakit vaskular periferal, gangren iaitu kerosakan atau kematian sebahagian tubuh kerana kekurangan atau tiada bekalan darah (12 peratus).

4. Kaki terpaksa dipotong (dua peratus).
 
Untuk mengelakkan semua komplikasi yang disenarai di atas, Dr Liew menyarankan semua orang kerap menjalani pemeriksaan paras gula darah. Jika paras gula darah (sama ada ketika berpuasa atau dua jam selepas makan) kurang daripada tujuh milimol/liter, anda masih dalam keadaan baik.
 
Bagaimanapun, jika paras ini melebihi 11 milimol/liter seseorang itu dikatakan mula mengalami masalah kencing manis. Namun jika dapat kekalkan paras gula ini kurang daripada 5.6 milimol/liter.
 
Dr Liew berkata, penurunan paras gula sebanyak satu milimol/liter pun akan memberikan banyak manfaat kepada pesakit terutama untuk mengelakkan komplikasi kesihatan.

Beliau menyarankan empat langkah pengurusan kencing manis iaitu penjagaan pemakanan, pengambilan ubat secara teratur, bersenam dan pendidikan. Amalan pemakanan seimbang ialah cara terbaik untuk mengawal paras gula dalam darah termasuklah melebihkan pengambilan sayur-sayuran termasuklah peria. Secara tradisionalnya peria atau Momordica charantia sudah digunakan sejak turun temurun untuk mengawal paras gula darah.

Dr Abu Bakar Suleiman yang juga Pengerusi Institut Diabetes Negara (Nadi) berkata, bahan aktif dalam peria polipetida-p, carantia dan momordisin dapat membantu kawalan gula darah.

Peria juga dikenali sebagai insulin tumbuh-tumbuhan dan ada kajian menyarankan pesakit kencing manis mengambil antara empat hingga lima biji peria setiap hari untuk mengawal penyakit mereka.

ANCAMAN KENCING MANIS


Pesakit mempunyai kebarangkalian tiga kali ganda mendapat penyakit kritikal disebabkan kegagalan organ.

DALAM keluarga anda, termasuk saudara mara terdekat, berapa orang agaknya menghidap penyakit kencing manis? Seorang, dua atau lebih? Kini penyakit kencing manis menjadi seperti perkara biasa dan kita tidak terkejut apabila mengetahui ada rakan menghidap penyakit ini.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 1996, kira-kira 8.3 peratus penduduk Malaysia menghidap kencing manis. Selepas 10 tahun, jumlah sebenarnya jauh lebih tinggi dan lebih membimbangkan, penyakit ini makin menular pada golongan muda.

Namun perkara ini tidak harus dianggap sebagai kebiasaan dan perlu dielakkan dengan penjagaan pemakanan sejak muda, terutama bagi individu yang menghadapi masalah berat badan berlebihan, mempunyai ahli keluarga menghidap sakit jantung dan kencing manis.

Ini kerana anda juga berpeluang mendapat penyakit sama, khususnya jika anda mempunyai tiga ciri berikut iaitu perempuan, mengalami kegemukan di pinggang dan berumur 40 tahun ke atas.

Ramai orang tidak sedar mereka ada masalah paras gula tinggi dalam badan (dipanggil kerintangan insulin) kerana ia tidak menunjukkan tanda atau gejala. Justeru, ramai tidak sedar mereka meniti ‘laluan’ untuk mendapat kencing manis, sakit jantung atau kedua-duanya.

Biasanya selepas umur 40, ramai wanita mula mengalami masalah pertambahan berat badan. Malah, ada yang tidak mengambil usaha untuk mengatasi perkara ini hinggalah masalah berat badan berlebihan bertukar menjadi obesiti. Pada peringkat ini, usaha menurunkan berat badan menjadi lebih sukar dan perlahan.

Apabila berat badan bertambah, pergerakan menjadi perlahan. Bersenam dianggap aktiviti lebih payah dan sukar dilakukan. Namun membiarkan berat badan bertambah sebenarnya hanya meningkatkan risiko mendapat kencing manis dan sakit jantung.

Risiko ini lebih tinggi jika ada ahli keluarga menghidap dua penyakit kronik itu. Malangnya, ramai tidak melihat ia sebagai amaran atau peringatan untuk memulakan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkannya.

Wanita dalam kategori ini perlu menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang serta mula bersenam. Amat menyedihkan, kurang tujuh peratus wanita di negara ini bersenam. Malah, ada yang tidak pernah bersenam langsung kecuali ketika di sekolah dulu.

Dalam laluan menuju ke alam menopaus, badan mengalami banyak perubahan hormon yang merangsang masalah seperti kepanasan dan gangguan kitaran haid. Ketika ini ramai wanita mula mengalami masalah pengumpulan lemak, terutama di pinggang. Namun, jangan ukuran pinggang anda terus meningkat melebihi 80 sentimeter (32 inci).

Selain pinggang, lemak berkumpul pada hati dan organ penting lain, mengakibatkan masalah kerintangan insulin. Maknanya, insulin tidak lagi mampu memindahkan glukos dalam darah ke sel (yang digunakan sebagai tenaga). Lama kelamaan ia menyebabkan paras gula dalam darah menjadi semakin tinggi.

Tanpa tenaga (glukos), banyak proses semula jadi dalam badan terganggu, tekanan darah meningkat selaras peningkatan paras gula dan lemak dalam darah — menyebabkan sel menjadi lebih rintang terhadap insulin. Akibatnya, wanita mendapat kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Malah, wanita yang mendapat kencing manis ketika mengandung juga perlu lebih berhati-hati kerana kajian mendapati mereka berisiko tinggi mengalami masalah kerintangan insulin jika tidak mengawal pemakanan dan berat badan.

Ada pakar perubatan berpendapat, selalu berasa letih dan tidak bertenaga, suka makan makanan manis dan berkarbohidrat ada kaitan dengan masalah ini. Bagaimanapun, ia hanya gejala umum kerana banyak perkara boleh menyebabkan seseorang kerap berasa lebih atau ingin makan makanan manis dan berkarbohidrat.

Kajian terbaru menunjukkan kencing manis meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian. Kesan kencing manis dikatakan lebih buruk berbanding obesiti.

Kajian dijalankan Hospital Universiti Kentucky Chandler dan Fakulti Perubatan Universiti Emory, Atlanta ke atas 15,408 orang berumur antara 44 hingga 66 tahun mendapati, pesakit kencing manis mempunyai kebarangkalian tiga kali ganda untuk mendapat penyakit kritikal disebabkan kegagalan organ berbanding individu obes yang tiada kencing manis.
 
Banyak kajian membuktikan perubahan gaya hidup ke arah lebih sihat boleh meningkatkan kualiti kesihatan dengan cepat. Kajian Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat ke atas individu berlebihan berat badan yang mengawal pemakanan dan bersenam mendapati mampu mengurangkan risiko kencing manis sebanyak 60 peratus.
 
Secara umumnya, perubahan pemakanan dan senaman mampu mencegah pelbagai penyakit kronik. Perubahan pemakanan ini tidak perlu mendadak kerana perkara yang dilakukan secara tiba-tiba sukar untuk bertahan lama.
 
Sebaik-baiknya lakukan secara berperingkat. Perkara paling utama ialah bersederhana, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan, minum banyak air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari (atau satu liter) dan ada petua mengatakan, berhenti makan sebelum kenyang.
 
Penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab setiap orang. Sebagai wanita, tanggungjawab ini lebih besar kerana sebagai isteri dan ibu, anda perlu menjaga kesihatan keluarga, khususnya anak.

Corak pemakanan wanita biasanya akan mempengaruhi pemakanan seisi keluarga. Justeru, jangan perjudikan kesihatan anak dengan tabiat pemakanan kurang sihat. Luangkan masa untuk bersenam bersama suami dan anak kerana manfaatnya akan dinikmati seisi keluarga.


PENYAKIT KENCING MANIS


Penyakit kencing manis juga dikenali sebagai diabetes mellitus. Penyakit ini ialah suatu keadaan yang mana terdapatnya ketiadaan atau kekurangan penghasilan insulin, atau badan bersifat rintang terhadap insulin. Insulin ialah suatu hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin berfungsi untuk meningkatkan penyimpanan karbohidrat, lemak dan protein. Ia bertanggungjawab untuk proses glikogenesis, iaitu penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati dan otot. Insulin juga menyebabkan lipogenesis, iaitu pembentukan trigliserida dan lemak. Ia juga menghalang pemecahan lemak dan meningkatkan penghasilan glukosa dalam hati.

Penyakit kencing manis juga boleh dikelaskan kepada :

1. Diabetes Primer

Jenis I (IDDM)

Jenis ini dikenali sebagai Diabetes Mellitus Bergantung Insulin kerana insulin yang dihasilkan oleh badan adalah sangat rendah dan tidak mencukupi untuk keperluan badan. Bentuk ini lebih kerap ditemui dalam kanak-kanak dan remaja. Hanya 10% daripada pesakit kencing manis yang berusia lebih daripada enam puluh lima tahun menghidapi penyakit kencing manis jenis ini. Keadaan ini boleh dirawat dengan pengawalan pemakanan dan melalui suntikan insulin.

Jenis II (NIDDM)

Jenis ini juga juga dikenali sebagai Diabetes Mellitus Tak Bergantung Insulin. 90% daripada kes penyakit kencing manis tergolong dalam jenis ini. Dalam Diabetes Jenis II, pankreas menghasilkan insulin yang tidak mencukupi. Ia biasanya berlaku dalam orang yang berusia lebih daripada 40 tahun. Sebilangan besar pesakit (lebih kurang 85%) adalah gemuk. Keadaan ini biasanya bersifat keturunan. Rawatan biasanya terdiri daripada pengawalan pemakanan sahaja atau pengawalan pemakanan dan pengambilan ubat. Sesetengah pesakit juga memerlukan suntikan insulin.

2. Diabetes Sekunder

Penyakit kencing manis ini disebabkan oleh penyakit pankreas yang lain, peningkatan permintaan terhadap fungsi pankreas yang tidak normal, seperti dalam penyakit kencing manis semasa mengandung, dan yang disebabkan oleh ubat dan toksin. Lebih kurang 20 hingga 25% wanita yang mengalami diabetes gestasi, atau penyakit kencing manis semasa mengandung, akan mengalami penyakit kencing manis apabila usia mereka telah meningkat. Rawatan bagi diabetes gestasi adalah melalui pengawalan pemakanan sahaja atau pengawalan pemakanan dan pengambilan ubat.

Simptom / Gejala

1. Simptom-simptom yang paling biasa ialah:

2. Kerap membuang air kencing
 
3. Sentiasa berasa dahaga  
4. Selera makan meningkat
 
5. Letih

6. Hilang berat badan
 
7. Jangkitan kulit yang kerap, misalnya jangkitan kulat pada kawasan kemaluan
 
8. Luka yang lambat sembuh
 
9. Kadang-kadang penglihatan menjadi kabur
 
10. Kebanyakan orang mempunyai satu atau lebih simptom tetapi ada orang yang tidak mempunyai sebarang simptom.

Rawatan

Penyakit kencing manis biasanya ia merupakan suatu penyakit seumur hidup. Tujuan rawatan untuk penyakit kencing manis ialah untuk melegakan simptom dan mengembalikan paras gula darah kepada paras normal dan untuk mencegah komplikasi. Penyakit kencing manis yang dibiarkan tanpa kawalan akan menyebabkan kerosakan buah pinggang, mata, kaki dan kulit. Cara mengawal penyakit kencing manis termasuklah pemakanan, penjagaan berat badan, senaman dan ubat.

Pemakanan

Pengawalan pemakanan adalah penting untuk mengawal diabetes. Pemakanan yang betul bukan setakat mengelakkan makanan dan minuman yang manis sahaja.

1. Pesakit kencing manis harus makan 3 kali sehari setiap hari pada masa yang ditetapkan.

2. Pesakit tidak patut tertinggal masa makan.

3. Makanan yang mengandungi kandungan fiber yang tinggi seperti roti jagung, mi, oat, biskut kraker yang tidak dimaniskan, chickpea, lentil dan sayur-sayuran harus diambil.
 
4. Makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi, misalnya gula yang telah
diproses, coklat dan madu harus dielakkan. 
 
5. Pengambilan lemak tepu harus dikekalkan pada paras minimum kerana
peningkatan pengambilan lemak akan meningkatkan risiko serangan penyakit
jantung. Elakkan daripada menggoreng makanan, sebaliknya, pangganglah makanan anda. 
6. Pengambilan garam dan makanan yang masin harus dikurangkan. Elakkan makanan seperti kerepek dan kacang tanah.
 
7. Makanan pesakit kencing manis harus dirancang terlebih dahulu. Makanan haruslah seimbang dan kandungan kalori dalam makanan haruslah tetap. Ini bertujuan untuk memastikan terdapat beban glukosa yang tetap untuk dikendalikan oleh badan.
 
8. Pengambilan kalori yang terkawal adalah baik untuk mengekalkan berat badan yang normal.

9. Pengambilan alkohol perlu dikekalkan pada paras minimum atau dielakkan kerana alkohol akan mengubah paras glukosa darah.

Pesakit kencing manis harus mengamalkan pemakanan yang seimbang. Mereka boleh memakan makanan yang dimakan oleh seisi keluarga, tetapi dalam jumlah yang sederhana, dan mengelakkan gula-gula dan makanan manis yang lain. Mereka tidak perlu membeli ‘makanan diabetes’ yang khas kerana makanan ini adalah mahal dan tidak membawa banyak manfaat. Selain itu, terdapat formula nutrisi yang khas untuk pesakit kencing manis yang tidak dapat mematuhi gaya pemakanan yang disyorkan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengingat bahawa pemakanan yang sihat ialah kunci kepada diet seorang pesakit kencing manis.

Senaman

Lebih kurang 50% daripada pesakit kencing manis dengan diabetes jenis II mempunyai berat badan yang terlalu tinggi. Adalah penting untuk mengekalkan berat badan yang ideal dengan senaman yang konsisten. Senaman membolehkan insulin untuk bertindak dengan lebih baik dan mengekalkan badan yang cergas dan pesakit menjadi lebih sihat. Senaman yang ideal bagi pesakit kencing manis harus dirancang selepas berjumpa dengan doktor, supaya komplikasi seperti hipoglisemia (kurang gula darah) dapat dielakkan. Berundinglah dengan doktor yang merawat pesakit itu sebelum memulakan sebarang program senaman.

Insulin

Insulin ialah ubat pilihan bagi diabetes jenis I. Insulin mula dihasilkan untuk rawatan penyakit kencing manis pada tahun 1921. Pada masa itu, bentuk insulin yang ada cuma jenis bovin (daripada lembu) dan porsin (daripada khinzir). Kini, terdapat bentuk sintetik yang serupa dengan insulin yang dihasilkan dalam badan. Insulin ini dihasilkan daripada yis dan bakteria. Insulin hanya diberikan melalui suntikan kerana ia boleh dimusnahkan dalam perut jika diberi melalui mulut. Doktor akan menentukan jenis ubat yang perlu diambil. Sekiranya insulin diberikan, doktor akan merancang program rawatan yang khas untuk setiap pesakit. Pengkelasan insulin adalah berdasarkan :

1. Masa mula tindak (ia berkaitan dengan kelajuan serapan insulin ke dalam aliran darah).
 
2. Kesan puncak. Masa insulin mencapai kesan maksimum.
 
3. Jangka masa tindak. Tempoh masa insulin bertindak.

Tablet anti-diabetes

Tablet ini tidak mengandungi insulin tetapi mengandungi ubat yang merangsang pankreas untuk menghasilkan lebih banyak insulin, atau membantu sel untuk menggunakan insulin yang sedia ada dengan lebih berkesan. Selepas mula mengambil ubat, doktor harus diberitahu sekiranya terdapat sebarang kesan samping seperti serangan paras gula darah rendah, cirit-birit atau ruam. Terdapat beberapa kelas ubat anti-diabetes, iaitu :
 
1. Sulfonilurea – ubat ini merangsang pankreas untuk menghasilkan lebih banyak insulin. Misalnya chlorpropamide, glibenclamide, glipizide.

2. Ubat lain yang merangsang pengeluaran insulin – ubat ini seperti repaglinide merangsang pankreas untuk menghasilkan insulin tetapi adalah terutamanya berkesan untuk mencegah paras glukosa yang tinggi selepas makan kerana ubat ini bertindak dengan cepat dan dimetabolismakan dengan cepat. 
 
3. Biguanid – ubat ini mengurangkan penghasilan glukosa dalam hati dan juga menjadikan tisu lebih sensitif terhadap insulin, contohnya metformin.

4. Thiazolidinedion – ubat ini meningkatkan sensitiviti insulin dengan mengaktifkan gen-gen tertentu yang terlibat dalam pembentukan lemak dan metabolisma karbohidrat. Misalnya, troglitazone, rosiglitazone.

5. Perencat alfa-glukosaidase – ubat ini mengurangkan penyerapan glukosa dalam usus kecil. Misalnya acarbose.

Hipoglisemia

Hipoglisemia atau serangan akibat paras glukosa darah yang rendah boleh berlaku ketika menjalani rawatan penyakit kencing manis. Keadaan ini biasanya berlaku kerana :
 
1. Makan terlalu sedikit.
 
2. Masa makan yang tidak tetap.

3. Terlalu banyak insulin atau ubat anti-diabetes.

4. Tidak mengambil makanan yang mencukupi sebelum bersenam atau senaman yang terlalu berat.

5. Penyakit misalnya cirit-birit

Penyesuaian pada rawatan dibuat adalah amat bergantung kepada gaya hidup pesakit. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan paras glukosa darah daripada jatuh sehingga di bawah paras normal dan mencetuskan serangan hipoglisemia.

Simptom

Simptom hipoglisemia adalah :
 
1. Kurang tumpuan atau pemikiran yang keliru.
 
2. Mudah marah.
 
3. Pening.
 
4. Loya dan lemah.
 
5. Berpeluh, pucat dan kulit yang sejuk.
 
6. Penglihatan yang kabur.

Rawatan ialah pengambilan gula dalam bentuk tablet glukosa, gula-gula atau minuman manis melalui mulut dengan serta-merta. Masa pemulihan biasanya adalah amat cepat. Walau bagaimanapun, sekiranya simptom itu masih ada, pesakit harus dibawa ke hospital dengan cepat untuk rawatan secepat mungkin.

Komplikasi

Semua bentuk diabetes, jika tidak dikawal, boleh mengakibatkan komplikasi yang melibatkan beberapa organ dan bahagian tubuh. Antara komplikasi yang paling teruk adalah komplikasi yang melibatkan buah pinggang, mata dan salur darah. Adakalanya, pengesanan awal adalah sukar kerana sesetengah komplikasi tidak mempunyai simptom yang nyata pada tahap awal.

Komplikasi Kesan akhir

Retinopati Penglihatan yang terjejas dan boleh mengakibatkan mata menjadi buta. Neuropati Kerosakan saraf yang boleh menyebabkan rasa sakit atau kehilangan deria pada tangan dan kaki. Komplikasi mungkin memerlukan amputasi (pemotongan) kaki. Pergerakan salur pencernaan terganggu dan boleh menyebabkan cirit-birit dan/atau sembelit. Nefropati Penyakit buah pinggang yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kematian awal. Kecederaan salur darah besar Kecederaan ini boleh mengakibatkan serangan jantung, strok atau kekurangan bekalan darah ke anggota bawah. Adalah sangat penting untuk mengawal penyakit kencing manis. Seseorang pesakit kencing manis boleh mengalami lebih daripada satu komplikasi sekiranya penyakitnya tidak dikawal untuk jangka masa yang lama.

Pengawalan paras glukosa darah

Dalam pesakit kencing manis, pemantauan berkala paras glukosa darah adalah penting, kerana ini akan menunjukkan sama ada rawatan adalah mencukupi atau perlu diperbetulkan. Paras glukosa darah selepas berpuasa bagi orang yang tidak menghidapi penyakit kencing manis adalah di antara 4 dan 6.6 mmol glukosa per liter. Walau bagaimanapun, paras sehingga 7.8 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras glukosa darah pos-prandial (selepas makan) sehingga 10 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras di bawah 4 mmol/L menunjukkan paras glukosa darah yang rendah. Dengan nilai yang begitu rendah, biasanya simptom hipoglisemia hadir pada orang itu. Ujian toleransi glukosa boleh dilakukan setelah mengukur paras glukosa darah selepas berpuasa. Ujian darah dilakukan 2 jam selepas meminum suatu larutan glukosa yang pekat.

Dalam orang yang normal, terdapat peningkatan glukosa darah pada mulanya dan paras ini akan kembali menjadi normal dalam masa 2 jam. Dalam pesakit kencing manis, terdapat peningkatan yang tinggi pada mulanya dan paras ini kekal tinggi (11.1 mmol/L atau lebih) selepas 2 jam. Satu ujian lain yang boleh dilakukan ialah pengukuran HBA1c atau ‘ujian hemoglobin terglikosilat’. Ujian ini menunjukkan paras glukosa darah bagi 6 hingga 8 minggu sebelum ujian itu dilakukan. Ia memberikan petunjuk bagi kawalan penyakit kencing manis bagi tempoh masa yang lebih lama berbanding dengan paras glukosa darah yang hanya memberikan petunjuk bagi kawalan penyakit kencing manis pada masa ujian.

Pemantauan glukosa darah

Paras glukosa dalam badan boleh ditentukan melalui ujian air kencing. Walau bagaimanapun, ujian darah memberikan nilai yang lebih tepat. Paras glukosa darah boleh diuji di rumah dengan menggunakan meter glukosa darah yang mudah. Doktor atau ahli farmasi anda boleh dihubungi bagi mendapatkan nasihat mengenai jenis meter dan cara menggunakan meter tersebut. Ujian glukosa darah adalah sangat mudah. Pesakit kencing manis disyorkan untuk menguji darah mereka secara berkala 2-3 kali seminggu atau pada bila-bila masa pesakit mengalami simptom hipoglisemia. Bacaan harus direkodkan dan ditunjukkan kepada doktor semasa lawatan ke klinik yang seterusnya. Sekiranya pada bila-bila masa didapati bahawa bacaan adalah terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit harus berjumpa dengan doktor yang akan memberikan nasihat mengenai cara-cara untuk mengekalkan paras glukosa darah di dalam had normal dengan membetulkan ubat, diet atau program senaman.

Keperluan penjagaan diri pesakit kencing manis

Pesakit kencing manis perlu mengikuti diet yang dirancang khas dan program senaman serta mengambil ubat yang diberikan mengikut masa. Selain itu, disebabkan pesakit kencing manis mudah mendapat komplikasi tertentu, mereka harus mengambil langkah berjaga-jaga. Tumpuan khas harus diberikan kepada kawasan yang paling bermasalah iaitu kulit, kaki, mata dan gigi.

Penjagaan kulit

Pesakit kencing manis perlu menjaga kulit mereka dengan baik kerana mereka mudah mendapat jangkitan kulit. Mereka haruslah sentiasa menjaga kebersihan kulit. Luka kecil atau calar sahaja pun perlu diberikan tumpuan segera dan dirujuk kepada doktor sekiranya tidak pulih. Langkah-langkah yang perlu diambil adalah:
 
1. Gunakan agen pembersih yang bersifat asid, dengan pH 5.5. Ini memastikan fungsi perlindungan kulit yang semula jadi dikekalkan.

2. Agen pembersih perlulah lembut, kerana agen pembersih yang kuat akan menyebabkan iritasi kulit.
 
3. Gunakan air suam untuk mencuci.

4. Agen pembersih yang beralkali haruslah dielakkan, terutamanya jika kulit adalah gatal atau terdapat inflamasi.
 
5. Elakkan daripada menggaru kulit kerana kulit yang pecah akan menggalakkan jangkitan.
 
6. Semasa mandi, berikan tumpuan kepada kawasan ketiak, kemaluan dan kelengkang, lipatan kulit dan kawasan di antara jari kaki.

7. Selepas mandi, elakkan kekeringan kulit dan gunakan losen pelembap untuk mengekalkan kelembapan kulit.

Penjagaan kaki

Pesakit kencing manis harus menjaga kaki mereka dengan baik kerana mereka mungkin tidak merasai sebarang luka atau ulser disebabkan oleh kekurangan deria di kawasan itu. Antara tips penjagaan kaki yang disyorkan adalah :
 
1. Pesakit kencing manis harus membersihkan kaki mereka setiap hari dan mengeringkan kaki dengan sempurna, khususnya kawasan di antara jari kaki.

2. Bagi kekeringan kulit, pesakit kencing manis haruslah membubuhkan sedikit krim pelembap.

3. Kuku jari kaki harus dipotong lurus untuk mengelakkan kecederaan kepada kulit.

4. Kasut haruslah selesa dan tidak terlalu ketat. Pesakit kencing manis haruslah memastikan bahagian dalam kasut bebas daripada sebarang gerigit atau objek kecil sebelum memakai kasut.
 
5. Kaki haruslah diperiksa setiap hari bagi luka, calar atau ulser.

6. Jangan membubuh sebarang agen kimia pada kaki seperti plaster ketuat atau pembuang kalus (kulit tebal pada kaki) kerana bahan-bahan ini mengandungi asid yang boleh menyebabkan iritasi kulit yang seterusnya boleh menyebabkan ulser.

Penjagaan mata

Penyakit mata seperti katarak, glaukoma dan kebutaan akibat retinopati adalah lebih kerap berlaku dalam pesakit kencing manis. Terdapat kejadian katarak yang lebih tinggi di kalangan pesakit kencing manis dan perkembangan penyakit adalah lebih cepat. Glaukoma, yang juga biasa berlaku pada pesakit kencing manis, harus didiagnos awal. Rawatan cepat dapat meminimakan kerosakan pada saraf optik dan kehilangan penglihatan. Salah satu daripada penyebab utama kebutaan dalam pesakit kencing manis ialah retinopati. Semakin lama seseorang pesakit menghidapi penyakit kencing manis, dan terutamanya jika tidak dirawat dengan betul atau dikawal, risiko retinopati diabetik meningkat.

Pesakit kencing manis haruslah :-

1. Pergi menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun.
 
2. Memeriksa tekanan darah secara berkala.
 
3. Berjumpa dengan pakar mata sekiranya terdapat sebarang masalah penglihatan.

Penjagaan dental (gigi)

Pesakit kencing manis harus berjumpa dengan doktor gigi sekali setiap enam bulan. Sebarang luka atau lesi dalam mulut termasuklah penyakit gusi harus dikenalpasti dan rawatan harus diberi dengan cepat. Sebaik sahaja seseorang didapati menghidapi penyakit kencing manis, dia seharusnya mengubah gaya hidupnya dan lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan dirinya.

DIABETES - AMBIL LAH PEDULI


Oleh : SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

KESEMPATAN ‘berkampung’ sekejap di Hospital Universiti Sains Malaysia baru-baru ini membuatkan saya terfikir, betapa jahatnya penyakit diabetes atau kencing manis.

Walaupun ia membabitkan empat hingga lapan peratus penduduk Malaysia iaitu kira-kira dua juta orang (angka yang mungkin kelihatan kecil sahaja berbanding 25 juta penduduk), tetapi boleh dikatakan kiri, kanan, depan, belakang katil wad yang ada, pasti ada pesakit yang terkena bahananya.

Pendek kata, diabetes kini tidak lagi berperangai ala-ala gadis sunti yang malu-malu seperti mana pernah dipertontonkannya dahulu.

Ia bukan lagi penyakit pak cik, mak cik. Bukan juga ia menyerang orang-orang kaya sahaja. Sila buang tanggapan anda bahawa ia jarang-jarang membunuh seperti tabiatnya sebelum ini.

Wabak ini juga dikatakan menjadi semakin kerap ditemui dan tangkas ‘berjangkit’ terutamanya di Asia, tentu sekali termasuk Malaysia, berbanding tempat-tempat lain di penjuru dunia.

Malah, sesetengah saintis meramalkan diabetes bakal menduduki takhta wabak terbesar direkodkan dalam sejarah manusia.

Ia bersesuaian dengan unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan bahawa, sekurang-kurangnya 171 juta rakyat dunia menderita penyakit diabetes yang dijangkakan meningkat lebih sekali ganda menjelang tahun 2030.

Saban tahun, adalah dianggarkan, 3.2 juta kematian (bersamaan enam orang seminit) dicatatkan di seluruh dunia yang berpunca daripada komplikasi-komplikasi diabetes.

Sekalipun dari segi kesedaran mengenainya sudah ada di negara ini, namun masih ramai yang masih tidak ambil peduli.
 
Mengambil kira perubahan gaya hidup mewah, pemakanan tidak seimbang dan kurang bersenam di kalangan para pekerja pejabat berbanding mereka yang lebih aktif, tidak keterlaluan jika dikatakan sekurang-kurangnya separuh daripada rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa paras glukosa atau gula dalam darah mereka sebenarnya adalah tinggi.

Jadi, adakah anda berisiko? Apakah komplikasi-komplikasinya? Dan, kenapa anda perlu ambil tahu tentang penyakit yang menyerang di dalam diam ini?

Menurut Pakar Perunding Perubatan dan kardiologi, Hospital Pakar Putra, Melaka, Datuk Dr. Nor Izham Aziz: ‘‘Diabetes meningkatkan risiko sakit jantung kepada tiga kali ganda berbanding mereka yang tidak menghidapinya. Kadar kematian selepas serangan jantung adalah tiga kali ganda jika pesakit turut menghidap diabetes.’’

Oleh itu, pesakit diabetes perlu mengurangkan risiko sakit jantung dan strok dengan cara mengawal kadar gula dalam darah dan juga mengurangkan faktor-faktor risiko lain seperti darah tinggi, kolesterol dan rokok.

Beliau berkata, berat badan juga menjadi faktor penting terutamanya perut yang buncit. ‘‘Pertukaran cara hidup yang melibatkan pemakanan seimbang dan senaman setiap hari adalah sangat penting. Pengawalan berat badan juga harus diberikan perhatian terutama jika pesakit mempunyai perut yang buncit.

‘‘Pesakit harus mendapatkan maklumat yang terperinci mengenai pemakanan daripada doktor atau pakar diet. Pengawalan kadar gula adalah penting dan pesakit perlu berjumpa doktor sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan,’’ ujarnya.

Pemeriksaan kadar HbA1c, jelas Dr. Nor Izham, haruslah tidak melebihi tujuh peratus dan kadar glukos semasa berpuasa juga tidak melebihi tujuh mmol/L.

Kawalan glukosa dan HbA1c yang baik boleh dicapai dengan cara pemakanan dan senaman, menggunakan ubat-ubatan berupa pil diabetes dan juga suntikan insulin, jika perlu.
Sementara itu, penyakit darah tinggi adalah tiga kali ganda lebih banyak di kalangan pesakit kencing manis berbanding pesakit lain.

Tambahnya, walaupun definisi darah tinggi adalah 140/90 pada kebiasaannya, kadar ini diturunkan ke 130/80 bagi pesakit diabetes.

‘‘Ini disebabkan oleh risiko sakit jantung dan strok yang lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes. Kadar kolesterol juga berbeza di kalangan pesakit diabetes.

‘‘Lazimnya, kadar trigliserid lebih tinggi dan HDL – kolesterol rendah berbanding orang biasa manakala kadar LDL – kolesterol dan total kolesterol tidak berbeza dibandingkan dengan orang biasa,’’ katanya.

Pembetulan kadar kolesterol yang tidak seimbang ini dapat mengurangkan kadar sakit jantung sebanyak 25 peratus. Pengawalan kolesterol boleh dicapai dengan cara pemakanan dan juga ubat-ubatan, jika perlu. Ia amat penting terutama di kalangan pesakit yang menghidap diabetes dan juga sakit jantung.

Merokok adalah risiko tersendiri penyakit jantung terutamanya di kalangan pesakit kencing manis. ‘‘Kadar kematian sakit jantung adalah dua kali ganda di kalangan pesakit diabetes yang merokok berbanding dengan pesakit yang tidak merokok.

‘‘Rokok juga menyebabkan komplikasi lain seperti kerosakan mata dan buah pinggang di kalangan penghidap diabetes,’’ kata Dr. Nor Izham.

Komplikasi metabolik di kalangan penghidap diabetes terbahagi kepada dua jenis iaitu hiperglisemia; berlaku apabila kadar glukosa dalam darah terlalu tinggi menyebabkan pesakit terasa lemah dan kehausan.

Hipoglisemia pula berlaku apabila kadar glukosa dalam darah terlalu rendah. Keadaan ini menyebabkan pesakit terasa lapar, menggigil, berpeluh dan jantung berdebar-debar.

Lain-lain komplikasi

Kata Dr. Nor Izham, diabetes juga merupakan salah satu daripada sebab hilang penglihatan. Tiga jenis komplikasi yang biasanya terdapat pada pesakit adalah katarak, glaukoma dan retinopati diabetik.

‘‘Komplikasi retinopati diabetik boleh menyebabkan pendarahan di dalam mata dan mengakibatkan pesakit menjadi buta. Keadaan ini boleh dielakkan jika pesakit membuat pemeriksaan mata,’’ ujarnya.

Biasanya doktor mengesyorkan pemeriksaan mata setiap enam bulan atau setahun. Komplikasi retinopati ini dapat dirawat dengan kaedah fotokoagulasi laser dan ia amat berkesan jika dilakukan pada peringkat awal.

Mengulas lanjut, kerosakan buah pinggang turut menjadi komplikasi diabetes yang semakin meningkat.

Pada peringkat awal, pemeriksaan air kencing untuk mikroalbuminuria dan makroproteinuria dapat mengesan kerosakan buah pinggang. Oleh itu, pesakit diabetes dinasihatkan membuat pemeriksaan air kencing setiap tahun.

‘‘Jika keadaan ini berlarutan dan menyebabkan kegagalan buah pinggang tahap lewat, pesakit perlu menjalani rawatan hemodialisis,’’ kata Dr. Nor Izham.

Diabetes boleh juga menyebabkan kerosakan saraf dan mengakibatkan kaki pesakit menjadi kebas dan hilang perasaan sentuh dan sakit. Ini boleh menyebabkan kaki pesakit luka dan berkudis tanpa disedari oleh pesakit itu sendiri.

Gangguan saraf juga boleh menyebabkan kerosakan pada sendi dan kecacatan di kaki. Jika berlaku kerosakan saraf di dalam perut pula, ini boleh menyebabkan pesakit berasa kembung dan cirit-birit.
 
Di kalangan pesakit yang mengalami gangguan saraf pada bahagian kaki, komplikasi ulser kaki diabetik boleh berlarutan hingga menyebabkan gangren dan septicaemia. Pesakit perlu memeriksa kakinya pada setiap hari kerana kebersihan kaki adalah sangat penting dalam kes pesakit diabetes.

Kaki mereka haruslah dijaga dengan rapi dan sentiasa kering. Pesakit dinasihatkan supaya memakai kasut apabila berjalan dan kasut haruslah yang sepadan dengan saiz kaki.

Kuku kaki harus dipotong dengan baik. Jangan gunakan pisau atau gunting untuk memotong kuku. Mereka harus memeriksa bahagian dalam kasut supaya tiada batu atau pasir sebelum memakainya..

Jika terdapat masalah luka atau kudis di kaki, hendaklah dibersih dan disapukan ubat dengan segera. Sekiranya tidak sembuh dalam tempoh dua tiga hari, pesakit haruslah berjumpa doktor dengan segera.

Penyakit diabetes merupakan penyakit yang serius dan kerap berlaku di kalangan penduduk di negara ini tetapi jika diawasi dan dikawal dari peringkat awal lagi, penyakit ini tidaklah membawa padah yang besar.
 
‘‘Walaupun komplikasi dan kesulitan penyakit diabetes amat membahayakan, ia tidaklah kerap berlaku jika pesakit sentiasa berjumpa doktor dan mengikut arahan serta rawatan dengan sempurna, terutamanya dari segi perubahan cara hidup.

‘‘Pertukaran gaya hidup ini merupakan tabiat yang boleh diamalkan sentiasa dari segi senaman dan pemakanan yang seimbang serta tidak bergula,’’ pesan Dr. Nor Izham. Hindari masalah kaki melalui :-

1. Periksa kaki setiap hari.

2. Basuh kaki setiap hari dengan sabun.

3. Jangan rendam kaki. Ini akan menyebabkan kulit menjadi kembang.

4. Keringkan kaki dengan baik selepas mandi terutama di celahan jari.

5. Gunakan bedak supaya kaki sentiasa kering.

6. Potong kuku dengan baik. Gunakan ketip kuku yang sempurna. Jangan guna pisau atau gunting untuk memotong kuku.
 
7. Gunakan kasut atau selipar yang sepadan dengan saiz kaki.
 
8. Jika kaki anda luka, bersihkan dan guna ubat antiseptik dan dressing. Segeralah berjumpa doktor jika luka tidak sembuh dalam tiga atau empat hari.

9. Apabila membeli kasut pastikan saiznya betul, tapaknya lembut. Jangan guna kasut bertumit tinggi. Sentiasa gunakan sarung kaki supaya tidak luka. Sebelum memakai kasut pastikan tiada pasir atau batu. Ini boleh menyebabkan luka.

PANTAU PARAS GLUKOSA DARAH ANDA


Oleh :

PROF. EMERITUS DATUK MUSTAFFA EMBONG
(Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara (NADI)

BAYANGKAN diri anda cukup sihat untuk melakukan semua yang anda inginkan dalam kehidupan, seperti memulakan perniagaan sendiri, melancong mengelilingi dunia setelah bersara, melihat cucu-cucu anda membesar.

Semua ini boleh berlaku walaupun anda menghidap diabetes. Asalkan anda boleh menguruskan diabetes dengan sempurna, anda boleh yakin akan dapat mengalami kehidupan yang bermakna seperti jua mereka yang tidak menghidap diabetes.

Pengurusan diabetes yang baik bermula dengan mengetahui dan seterusnya mengawal paras glukosa darah anda. Dengan mengamalkan pemantauan sendiri paras glukosa darah (SMBG) di rumah, anda sentiasa akan boleh mengetahui paras glukosa darah anda.

SMBG merupakan suatu prosedur yang sangat mudah yang melibatkan mencucuk hujung jari anda dengan jarum khas yang dipanggil lanset dan kemudiannya menjalankan ujian kepada titisan darah dengan sebuah meter glukosa darah (glukometer). Glukometer akan memberikan bacaan paras glukosa darah anda yang terkini. 
 
Kawalan yang lebih baik dengan SMBG

Kajian telah berkali-kali menunjukkan bahawa mereka yang mengamalkan SMBG secara kerap dapat menguruskan paras glukosa darah dengan lebih baik. Ini boleh disahkan dengan paras HbA1c yang baik (sila lihat rencana berkotak di bawah).

Kawalan ketat sedemikian adalah sangat penting untuk pencegahan dan/atau melambatkan terjadinya komplikasi-komplikasi diabetes. Seperti yang telah anda baca dalam artikel kami sebelum ini yang telah dipaparkan pada Hari Jantung Sedunia, iaitu 30 September 2007, pengurusan diabetes yang tidak sempurna akan mengakibatkan banyak komplikasi, terutama sekali penyakit jantung.

Mari lihat statistik-statistik berikut :

1. Penghidap diabetes adalah 2 hingga 4 kali lebih cenderung untuk terkena penyakit jantung atau strok berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes
 
2. 2 daripada 3 orang yang menghidap diabetes, terutama jika tidak dikawal dengan baik, akan meninggal dunia akibat penyakit jantung atau strok.
 
3. Mereka yang menghidap diabetes lebih cenderung untuk meninggal dunia akibat serangan jantung berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes.
 
4. Bagi mereka yang menghidap diabetes, serangan jantung biasanya berlaku lebih awal dan berkemungkinan besar akan mengakibatkan kematian.

Diabetes yang tidak diuruskan dengan baik juga akan membawa kepada banyak lagi komplikasi lain.

Projek Pengumpulan Data Penjagaan Diabetes (kajian DCDCP) yang dijalankan di seluruh Malaysia pada tahun 1997 telah mendapati bahawa 53 peratus daripada penghidap diabetes telah mendapat retinopati diabetes (yang akan menyebabkan buta), 58 peratus telah menderita akibat neuropati (punca utama amputasi kaki) dan 52 peratus pula mempunyai mikroalbumin di dalam urin, yang bermakna mereka mengalami kerosakan buah pinggang.

Melihatkan bagaimana banyak jenis komplikasi diabetes yang boleh merampas kehidupan bermakna seseorang itu, anda mungkin akan membuat anggapan bahawa SMBG mesti sedang diamalkan secara meluas oleh rakyat Malaysia.

Malang sekali, mengikut kajian DCDCP, hanya 0.6 peratus daripada penghidap diabetes mengaku ada memantau glukosa darah mereka secara kerap!

Menerusi artikel ini, kami berharap dapat menggalakkan anda untuk mula mengamalkan pemeriksaan sendiri glukosa darah (SMBG) anda secara kerap sebagai satu langkah pertama ke arah kesedaran bahawa anda boleh mengawal diabetes anda dengan mudah walaupun ia merupakan penyakit yang serius.

Tip bagi mereka yang ingin mengamalkan SMBG :

1. Membuat keputusan untuk memantau setiap hari. Anda perlu memantau glukosa darah anda sekurang-kurangnya sekali dalam sehari. Anda boleh menambah kekerapannya secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha anda untuk mengetatkan kawalan diabetes anda.

Setelah paras glukosa darah optimal dicapai, anda mungkin boleh mengurangkan kekerapan pemantauan kepada sekali dalam 3-4 hari, terutama jika anda mempunyai diabetes jenis 2.

2. Maklumkan doktor anda. Doktor anda pasti gembira mendengar bahawa anda telah membuat keputusan untuk mengamalkan SMBG.

Bagi memastikan anda mendapat manfaat daripada SMBG, doktor atau pendidik diabetes anda akan menjelaskan sasaran paras glukosa darah anda yang sepatutnya, bergantung kepada keadaan diabetes anda.

Secara amnya, paras lingkungan yang sihat adalah di antara 4 mmol/L - 6 mmol/L (sebelum makan) dan kurang 8 mmol/L (dua jam selepas makan).

3. Membeli sebuah glukometer. Terdapat banyak model di pasaran dan anda perlu memilih yang paling sesuai untuk anda. Selain daripada harganya, anda juga perlu melihat ciri-ciri pada setiap model seperti saiz, berat, kemudahan penggunaan serta kesenangan untuk dibawa ke mana-mana. Terdapat sesetengah meter yang amat canggih di mana ia hanya memerlukan sedikit darah sahaja (diambil dari hujung jari atau kawasan lain) untuk memberikan anda keputusan yang cepat serta tepat.

Banyak juga yang mempunyai memori yang dapat merekod paras glukosa darah anda dan ini akan membolehkan doktor/pendidik diabetes anda menyemaknya. Jangan lupa meminta suatu demonstrasi sebelum membeli meter tersebut. Jika perlu, dapatkan bantuan doktor atau pendidik diabetes untuk membuat saranan.

4. Catatkan keputusan anda. Catatkan semua keputusan anda dalam buku nota yang khusus untuk tujuan pemantauan ini. Catatkan hari, tarikh, masa, sama ada sebelum atau selepas waktu makan, serta sama ada selepas suatu aktiviti fizikal (seperti sesi senaman).

Anda juga perlu merekod simptom anda (seperti pening-pening, berdebar) jika ada, dan jenis makanan yang diambil serta jenis senaman agar anda boleh bandingkannya dengan paras glukosa darah dan mengambil tindakan susulan sewajarnya (sila lihat di bawah).

5. Gredkan keputusan anda. Berikan gred untuk setiap keputusan di dalam buku nota anda sebagai ‘Tinggi’, ‘Normal’ atau ‘Rendah’ berbanding dengan paras sasaran glukosa darah yang doktor anda telah tentukan untuk anda.

Maklumkan kepada doktor atau pendidik diabetes dengan segera jika anda mendapati bacaan anda adalah terlalu tinggi atau terlalu rendah kerana anda mungkin menghadapi suatu kecemasan diabetes. Adalah lebih baik untuk lebih berhati-hati daripada terkena sakit.

6. Selaraskan diet atau aktiviti fizikal anda. Keputusan anda akan menunjukkan bagaimana paras glukosa darah anda terjejas akibat apa yang anda makan atau lakukan sebelum membuat pemantauan. Contohnya, anda mungkin mendapat bacaan yang ‘Tinggi’ dua jam selepas makan tengah hari akibat pengambilan karbohidrat yang berlebihan.

Ini akan mendorong anda untuk mengkaji semula dari mana datangnya karbohidrat tersebut agar anda boleh mengurangkan hidangan atau menukar kepada alternatif lain pada masa akan datang. Jika anda mendapat bacaan yang agak rendah selepas bersenam, maka anda mungkin perlu mengurangkan intensiti senaman untuk sesi senaman yang seterusnya.

7. Menganalisis keputusan anda selepas suatu jangkamasa. Setelah menjalankan SMBG secara kerap selama beberapa minggu, minta doktor atau pendidik diabetes anda untuk menunjukkan cara menterjemahkan keputusan bagi sehari, seminggu dan seterusnya untuk sebulan. Adakah paras anda sentiasa tinggi atau adakah ia semakin menurun dan menghampiri sasaran?

Adakah terdapat sebarang kenaikan atau penurunan yang mendadak? Pemerhatian-pemerhatian sedemikian adalah sangat penting kepada doktor anda kerana ia akan mendorong beliau untuk mengubah pelan penjagaan diabetes anda serta mengkaji sebarang kebimbangan lain yang berkaitan, jika perlu.

Seperti yang selalu dikatakan, pengetahuan itu kuasa untuk diri. Walaupun ia merupakan satu pengetahuan dan amalan yang sangat mudah, namun pemantauan sendiri glukosa darah (SMBG) adalah sangat penting untuk memberikan kuasa meyakinkan anda untuk mengawal diabetes anda, mencegah komplikasi serta memastikan anda dapat menikmati kualiti hidup yang sempurna untuk jangka masa yang lama.

Pemantauan sendiri glukosa darah SMBG & HbA1c

Walaupun anda sedang mengamalkan SMBG di rumah, setiap 3-4 bulan doktor anda akan menjalankan sejenis ujian darah untuk menilai paras HbA1c (kompleks hemoglobin berglukosa) anda.

Doktor anda akan berpandukan kepada keputusan ini untuk melihat sama ada pengawalan glukosa darah anda selama 2 atau 3 bulan yang lepas memuaskan atau sebaliknya. HbA1c terbentuk apabila glukosa dalam darah menggabungkan dirinya dengan hemoglobin dalam sel-sel darah merah.

Secara ideal, HbA1c perlu berada di bawah 6.5 peratus jika anda menghidap diabetes jenis 2 (dan kurang dari 7 peratus bagi mereka yang menghidap diabetes jenis1). Paras HbA1c yang sentiasa tinggi adalah dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi bagi terjadinya komplikasi diabetes.

Dengan mengamalkan SMBG secara kerap, membuat perubahan gaya hidup yang sihat serta bekerjasama rapat dengan doktor (dan pendidik diabetes) anda untuk mencapai paras sasaran glukosa darah anda, anda pasti boleh mencapai HbA1c yang terbaik.

LELAKI BUNCIT RISIKO DIABETES


PERUT yang kempis dan kemas bukan saja menambah keyakinan diri seorang lelaki malah yang lebih penting ia mencerminkan kesihatan pemilik tubuh tersebut.

Kajian membuktikan lelaki yang memiliki tumpuan lemak di kawasan perut atau disebut juga memiliki bentuk tubuh seperti buah epal, lebih berisiko terkena penyakit diabetes, angin ahmar dan jantung.

Sebelum menafsir kegemukan dan kaitannya dengan beberapa penyakit berbahaya, ada baiknya kaum lelaki mengambil sedikit masa melakukan ujian BMI (indeks jisim tubuh) pada diri sendiri.

Ini disarankan oleh Pakar Gastroentologi di Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari sebelum menentukan tahap kegemukan badan seseorang.

“Untuk mengira BMI, berat (kilogram) dibahagikan dengan ketinggian (meter), apabila individu itu berada pada tahap lebih daripada 30 maka, dikategorikan sebagai berat badan berlebihan atau obesiti.

“Bagaimanapun, ia kadang kala tidak begitu tepat terutama bagi orang yang berotot iaitu mereka yang kuat bersenam. Apa yang terjadi ialah BMI golongan ini mungkin tinggi iaitu antara 25 hingga 30, tetapi mereka ini dikategorikan sihat.

“Masalahnya ialah pada lelaki yang kurus, tetapi memiliki perut yang buncit atau dalam istilah perubatannya dipanggil central obesity.

“Bagi masyarakat Asia, saiz ukur lilit yang ideal bagi lelaki ialah kurang daripada 90 sentimeter (sm) manakala bagi wanita ialah 80 sm, jika lebih dari itu dipanggil central obesity,” ujar beliau ketika ditemui di kliniknya, baru-baru ini.

Walaupun ramai yang mempunyai stigma bahawa perut lelaki yang buncit berkait rapat dengan penyakit jantung, Dr. Malik merungkai pernyataan itu dengan menyatakan buncit sebenarnya memberi lebih risiko untuk mendapat penyakit diabetes.

“Memang perut buncit dikatakan berkaitan dengan penyakit jantung tetapi ia sebenarnya bukanlah secara langsung. Kalau dikatakan kegemukan badan keseluruhan, memang secara langsung berkaitan dengan penyakit jantung.

“Sindrom tersebut dinamakan metabolic syndrome. Antara penyakit lain yang berisiko secara tidak langsung ialah darah tinggi, pradiabetes dan kolesterol tinggi.

“Semua ini ada berkaitan dengan jantung, contohnya kalau ada darah tinggi, individu itu boleh terkena serangan jantung, diabetes pun sama boleh terkena serangan jantung atau mungkin juga kegagalan fungsi jantung,” jelas Dr. Malik.

Tambah beliau, buncit disebabkan oleh pemakanan yang tidak seimbang dan kurangnya bersenam.

Kedua-dua ini menyebabkan lelaki berisiko tinggi menghidap kencing manis dan masalah kolesterol. Yang pasti masalah ini adalah antara faktor risiko untuk mendapat masalah jantung.

“Secara umumnya, seorang lelaki itu harus kurangkan makanan yang bergoreng dan kolesterol tinggi.

“Kurangkan pemakanan yang berunsur karbohidrat seperti nasi putih, roti putih, kentang, kuih-muih, kurangkan pemakanan yang berkalori tinggi seperti berlemak atau bergoreng. Disyorkan mengambil lebih sayur-sayuran dan buah-buahan seperti epal, betik, buah limau namun tidak digalakkan ialah tembikai, mangga dan durian.

“Mereka juga digalakkan memakan lebih protein daging putih seperti ikan dan ayam (jangan yang bergoreng) serta kurangkan mengambil daging merah.

“Jangan mengambil minuman yang bergas, kerana ia mengandungi gula yang terlalu tinggi.

Gaya hidup pula mesti berubah dengan melakukan senaman 30 minit sehari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman yang disyorkan ialah berjalan secara cepat. Kurangkan penggunaan lif, banyakkan naik tangga,” hurai beliau.

Sekiranya seseorang lelaki itu telah disahkan menghidap penyakit diabetes atau jantung, mereka masih boleh melakukan senaman dan mengamalkan corak pemakanan yang lebih sihat, cuma sebagai tambahan, mereka perlu mengambil ubat-ubatan tertentu untuk mengawal penyakit mereka.

“Bila seorang lelaki semakin meningkat usia, hormon testosteron semakin berkurangan, jadi mereka lebih cenderung untuk gemuk terutama di bahagian pinggang.

Secara kesimpulannya, orang buncit sebenarnya meninggikan risiko untuk mendapat penyakit diabetes jika ia tidak dikawal melalui pemakanan dan senaman.

KEHAMILAN SIHAT UNTUK PESAKIT DIABETES

 
Oleh : PROF. MUSTAFFA EMBONG

SEBELUM hamil, anda telah dipantau oleh kumpulan pakar penjagaan diabetes mengenai rancangan penjagaan prakehamilan untuk menguruskan diabetes anda dan masalah-masalah kesihatan lain.

Sekarang, apabila anda telah hamil, anda perlu terus berkerjasama dengan kumpulan pakar-pakar ini bagi memastikan semula matlamat kehamilan anda.

Selain memastikan perhubungan yang kerap dengan mereka melalui telefon atau e-mel, anda juga perlu berjumpa dengan kumpulan pakar penjagaan diabetes anda sekurang-kurangnya sekali setiap satu hingga dua bulan.

Pertemuan haruslah lebih kerap pada permulaan kehamilan dan apabila hampir kelahiran, untuk memastikan tahap kesihatan anda dan bayi.

Pakar perunding diabetes akan membimbing anda menguruskan paras glukosa darah supaya sentiasa berada dalam paras yang disarankan sepanjang tempoh kehamilan.

Pakar obstetrik pula akan memantau perkembangan bayi dan sebarang komplikasi-komplikasi kehamilan yang mungkin berlaku seperti praeklampsia, satu keadaan yang berkait dengan tekanan darah tinggi.

Jika tidak dirawat segera, ia boleh menimbulkan satu keadaan serius yang dikenali sebagai eklampsia, yang membahayakan nyawa ibu dan bayi. Jika praeklampsia serius berlaku, bayi anda mungkin perlu dilahirkan lebih awal.

Secara umumnya, para ibu yang mengawal diabetes dengan baik terutamanya yang tidak menggunakan bantuan insulin, dapat melahirkan bayi secara normal dengan selamat.

Bagaimanapun, kebanyakan pakar obstetrik mencadangkan supaya para ibu yang menghidap diabetes melahirkan bayi mereka lebih awal iaitu di antara minggu 38 ke 39, terutamanya apabila bayi semakin membesar.

* Memastikan Penambahan Berat Badan Sesuai

Secara umum, pakar diet akan mengesyorkan pengambilan protein dan kalori serta pengambilan vitamin dan mineral yang secukupnya seperti asid folik, zat besi dan kalsium.

Anda juga akan dinasihatkan supaya mengambil sajian secara teratur dengan kuantiti karbohidrat yang secukupnya untuk mengelak dari terjadinya ketosis.

Selain itu, ambil snek ringan di antara sajian utama dan sebelum tidur untuk mengelakkan hipoglisemia (paras glukosa darah yang sangat rendah). Ketika hamil, anda perlu makan secara teratur bagi memastikan penambahan berat badan sesuai tercapai.

Untuk mencapai matlamat ini, anda perlu menyemak dahulu indeks jisim tubuh dengan cara mengira berat badan dalam kg dan dibahagikan dengan kuasa dua ketinggian dalam meter.

Jika keputusan yang diperoleh adalah di antara 20 dan 25 sebelum anda hamil, anda perlu menambah berat badan dalam lingkungan 9 hingga 16kg semasa tempoh kehamilan.

Jika IJT anda sebelum hamil adalah di antara 26 dan 29, anda disarankan menambah berat badan sebanyak 7 hingga 11kg.

Jika IJT melebihi 30, anda perlu menambah berat badan paling banyak 6 kg sahaja, manakala IJT yang kurang dari 20 bermakna penambahan sebanyak 12 hingga 18kg.

* Kekal Aktif Secara Fizikal

Senaman yang ringan ke sederhana dan kerap semasa kehamilan dapat membantu anda mencapai berat badan kehamilan yang sesuai dan mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang disarankan.

Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati dengan jenis latihan yang ingin dilakukan. Dengan berat tambahan yang anda perlu tanggung di bahagian pinggang, adalah baik sekiranya anda mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan anda terjatuh.

Cuba aktiviti seperti berjalan cergas, regangan badan dan mengangkat pemberat ringan.

* Tingkatkan Pengambilan Insulin

Semua wanita yang hamil, sama ada menghidap diabetes atau tidak, akan memerlukan lebih insulin berbanding sebelum kehamilan.

Ini disebabkan oleh plasenta yang membekalkan zat-zat nutrien dan tenaga kepada bayi turut menghasilkan hormon-hormon yang bertindak bertentangan dengan insulin menyebabkan badan memberikan lebih rintangan terhadap insulin.

Apabila plasenta semakin membesar, lebih banyak insulin diperlukan untuk mengatasi rintangan ini dan mengekalkan paras glukosa darah pada paras normal.

Jika anda penghidap diabetes tanpa insulin yang mencukupi, badan akan mula membakar lemak untuk menghasilkan tenaga menyebabkan glukosa darah dan keton meningkat tinggi di dalam aliran darah anda dan akan tertumpah ke dalam urin.

Jika tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan DKA (ketoasidosis diabetes) yang boleh membawa maut kepada ibu dan bayi. Oleh itu, adalah amat penting bagi anda untuk mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang disarankan sepanjang masa kehamilan iaitu melalui diet yang terancang, senaman yang kerap dan jika perlu, suntikan insulin.

Bagaimanapun, jika anda mengambil insulin tetapi ada mengalami muntah-muntah semasa trimester pertama kehamilan, doktor mungkin mengurangkan sedikit sukatan insulin anda.

Anda mungkin mendapati bahawa pengawalan diabetes menjadi stabil apabila anda memasuki trimester kedua kehamilan (empat hingga enam bulan) walaupun anda masih perlu meningkatkan sukatan insulin.

Menjelang trimester ketiga kehamilan (tujuh hingga sembilan bulan), diabetes anda kebiasaannya sudah stabil pada ketika ini. Tetapi, anda mungkin memerlukan insulin sebanyak dua kali ganda berbanding pada peringkat permulaan hamil.

* Kerap Memantau Paras Glukosa Darah Anda

Sebagai pesakit diabetes yang hamil, mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang disarankan sepanjang kehamilan adalah amat penting. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan komplikasi kepada kedua-dua ibu dan bayi.

Apabila anda hamil, paras sasaran glukosa darah yang ditetapkan adalah lebih ketat berbanding paras bagi orang biasa yang menghidap diabetes. Bagi menjamin paras yang ditetapkan, anda perlulah memeriksa paras glukosa darah anda sebaik-baiknya empat ke enam kali sehari.

Secara ideal, anda perlu memeriksa paras glukosa darah secara rutin iaitu sebelum dan dua jam selepas sajian utama (sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam) dan kadangkala pada waktu malam.

Jika anda mengambil insulin, adalah penting untuk melakukan pemeriksaan sebelum dan selepas bersenam. Paras glukosa darah anda akan berubah bergantung kepada apa yang anda makan, masa pengambilan insulin dan aktiviti fizikal yang anda lakukan.

Adalah baik jika anda membawa sedikit gula-gula atau biskut bersama anda, jikalau anda mengalami hipoglisemia.

Pengawalan paras glukosa darah dengan ketat di awal kehamilan (10-12 minggu pertama) adalah amat kritikal untuk bayi anda yang sedang membesar.

Struktur badan bayi sedang membentuk dan peningkatan glukosa darah pada tempoh ini boleh menyebabkan kerosakan struktur utama badan bayi dan akan menyebabkan kecacatan ketika kelahiran atau kematian sebelum lahir.

* Ambil Ubat Yang Dipreskripsi

Selain insulin, anda juga mungkin perlu mengambil ubat untuk masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi atau paras kolesterol darah tinggi. Sentiasalah pastikan dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan semasa kehamilan untuk memastikan ia tidak membahayakan bayi di dalam kandungan.

* Elakkan Merokok Dan Alkohol

Mengambil minuman beralkohol atau mengambil dadah yang diharamkan ketika hamil boleh menjejaskan bayi anda. Elakkan juga dari merokok atau terdedah kepada asap rokok walau sebagai perokok pasif.

* Kehamilan Dan Kelahiran Yang Sihat

Mengandung dan menghidap diabetes pada masa yang sama boleh menjadi satu cabaran yang memerlukan komitmen serta disiplin yang tinggi. Bagaimanapun, dengan kepakaran pasukan penjagaan diabetes anda dan sokongan daripada orang yang tersayang, tiada sebab mengapa anda tidak dapat menikmati kehamilan yang normal dan pengalaman melahirkan bayi yang sihat.

* Senarai Kehamilan Yang Sihat

Apa yang paling penting ketika kehamilan adalah menguruskan paras glukosa darah serta masalah kesihatan lain dengan baik supaya anda sentiasa berada dalam keadaan yang optimum untuk melalui kehamilan dan melahirkan bayi yang sihat.

Untuk mencapai matlamat itu, berikut adalah satu senarai semak yang anda boleh lakukan :
 
1. Saya memeriksa paras glukosa darah dengan kerap setiap hari dan ia berada dalam lingkungan yang disarankan oleh doktor (berpuasa 3-5 mmol/L dan 4-7 mmol/L dua jam selepas makan)
 
2. Saya mengekalkan diet yang seimbang (mempunyai kalori, protein, karbohidrat, serat dan lemak, vitamin dan mineral yang secukupnya) seperti yang dinasihatkan oleh pakar diet.
 
3. Saya aktif secara fizikal dan melakukan senaman ringan ke sederhana secara kerap.
 
4.Saya tidak mengambil alkohol (atau dadah yang diharamkan) atau menghisap rokok.
 
5. Saya mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsikan dan telah dipastikan dengan doktor bahawa ia adalah selamat kepada bayi dalam kandungan.
 
6. Saya sentiasa berhubung rapat dengan kumpulan pakar penjagaan diabetes dan telah berjumpa dengan doktor mengikut jadual yang ditetapkan.

Sekiranya kesemua jawapan anda berbentuk ‘ya’, tahniah! Anda semestinya di dalam perjalanan ke arah kehamilan yang sihat, tanpa komplikasi ketika kelahiran.
 
 

ANCAMAN GULA


Oleh : NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

RAMAI mengeluh apabila masalah kekurangan gula masih tiada penyelesaian walaupun pelbagai langkah diambil tetapi jika dilihat dari sudut positif, inilah masa terbaik untuk kita memulakan tabiat pemakanan yang lebih sihat.

Pakar pemakanan menjelaskan gula tidak mempunyai khasiat dan ia digunakan hanyalah untuk memberi atau menaikkan rasa makanan. Malah keinginan untuk menikmati rasa manis sebenarnya adalah tabiat yang dipupuk sejak kecil.

Penambahan gula dalam makanan atau minuman pula hanyalah sebagai memenuhi cita rasa sedangkan hakikatnya kita masih boleh hidup dengan baik, sihat, cergas dan produktif tanpa gula kerana glukos iaitu bentuk gula paling ringkas terdapat dalam hampir semua makanan.
 
Semua orang tahu pengambilan gula berlebihan tidak baik untuk kesihatan tetapi tidak ramai yang mampu menyekat kemasukan gula ke dalam badan. Sememangnya gula membekalkan tenaga segera tetapi kebanyakan kita mengambil terlalu banyak gula daripada jumlah yang diperlukan.

Kajian Kementerian Kesihatan baru-baru ini mendapati rakyat Malaysia mengambil 125 miligram (mg) gula sehari, lebih dua kali ganda daripada keperluan harian iaitu hanya 50 mg sehari.

Ini bermakna, tanpa sedar kita secara tidak langsung mendedahkan diri kepada pelbagai komplikasi kesihatan akibat gula berlebihan. Peningkatan jumlah pesakit kencing manis perlu dijadikan iktibar untuk kita memulakan penjagaan makanan dan amalan kesihatan.

Walaupun gula bukan penyebab kencing manis tetapi ini adalah penyakit utama yang berkaitan dengan gula. Secara semula jadi sel badan tidak boleh menyerap glukos dan ia memerlukan bantuan hormon insulin dari pankreas.

Di atas permukaan sel ada penerima insulin yang membolehkan glukos diserap ke dalam sel. Bagaimanapun di kalangan pesakit kencing manis, sel gagal untuk mengenali insulin dan ini menyebabkan lambakan glukos dalam darah sehingga ia terpaksa dibuang melalui air kencing.

Malangnya masalah kesihatan akibat kencing manis tidak terhenti di situ terutama di kalangan pesakit yang tidak mengawal paras glukos dalam darah mereka. Ia boleh mendatangkan pelbagai komplikasi lain seperti kegagalan buah pinggang yang memaksa pesakit menjalani rawatan hemodialisis.

Ini adalah gejala yang biasa jika kencing manis mereka tidak terkawal. Malah penghidap kencing manis juga berisiko tinggi kehilangan penglihatan atau retinopati diabetes.

Gula berlebihan akan menyumbang kepada pembentukan katarak (tiga hingga empat kali ganda berbanding orang sihat). Malah gula berlebihan ini juga mengurangkan keupayaan kanta mengeluarkan cecair dari mata dan akibatnya pandangan menjadi kabur.

Kehadiran gula walaupun dalam kuantiti yang kecil boleh menjejaskan kebolehan sistem pertahanan badan untuk menentang jangkitan. Apabila paras gula dalam darah tinggi, ia akan merangsang pankreas menghasilkan lebih banyak insulin.

Malangnya paras insulin ini akan kekal tinggi walaupun semua gula sudah digunakan. Insulin berlebihan ini pula akan menjejaskan penghasilan hormon pertumbuhan yang mengawal sistem pertahanan badan. Bukan saja daya ketahanan badan terjejas tetapi pada masa sama pertumbuhan seseorang itu turut tergendala.

Oleh kerana gula (glukosa) adalah satu bentuk tenaga yang mudah digunakan, maka ada yang mengaitkannya dengan risiko diserang kanser payudara, usus dan pankreas. Terlalu banyak insulin juga dipercayai menggalakkan pertumbuhan sel kanser terutama pada payudara, usus, paru-paru, ovari, perut dan prostat. Bagaimanapun kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengesahkan dakwaan ini.

Namun paling ketara ialah pengambilan gula berlebihan boleh merosakkan gigi. Berdasarkan laporan yang diterbitkan dalam Food Facts Asia, dalam keadaan biasa bakteria dalam mulut akan menggunakan bahan-bahan makanan terutama karbohidrat (dari gula, kanji atau minuman manis) untuk membentuk asid.
 
Asid inilah yang akan melarutkan kalsium dan fosfat daripada lapisan enamel (iaitu lapisan luar gigi) dan menyebabkan gigi kehilangan mineral. Kedua-dua mineral ini akan bercampur dengan air liur dan mengembalikan kalsium serta fosfat kepada gigi. Kerosakan gigi akan berlaku sekiranya proses kehilangan minderal lebih pantas daripada mengembalikan mineral ke gigi.
 
Ia boleh berlaku jika air liur tidak dapat meneutralkan asid dalam mulut iaitu apabila seseorang itu kerap makan dan minum. Kekerapan makan atau minum mengakibatkan air liur tidak cukup masa untuk menjalankan tugasnya, dan akhirnya gigi akan menjadi lemah dan berlubang.

Sebaliknya kita boleh menggunakan pemanis tiruan seperti aspartame, sakarin atau xylitol sebagai pengganti gula. Ia memberikan rasa manis dan mengurangkan kesan negatif gula.

Pemanis tiruan tidak akan merosakkan gigi kerana ia tidak mengandungi karbohidrat malah ia jauh lebih manis berbanding gula pada kuantiti yang sama. Justeru pemanis tiruan juga baik untuk pesakit kencing manis bagi mengawal paras gula dalam darah mereka.


LANGKAH AWAL MENGESAN DIABETES


BADAN kita memproses karbohidrat di dalam makanan dan menukarnya kepada glukos, iaitu makanan utama untuk sel badan. Diabetes atau kencing manis pula berlaku apabila badan kita kekurangan hormon yang dikenali sebagai insulin.

Insulin membantu tisu dan organ untuk menggunakan glukos di dalam saluran darah. Oleh itu apabila insulin berkurangan di dalam badan, paras glukos akan meningkat dalam saluran darah, sekali gus memungkinkan seseorang menghidap diabetes.

Sebenarnya, diabetes dapat dikesan melalui ujian glukos dalam darah. Ada dua jenis diabetes :
Pertama : Dikenali sebagai Insulin-dependent diabetics melitus (IDDM). Ia keadaan kekurangan insulin di dalam badan. Ini kebanyakannya berlaku di kalangan remaja dan peringkat awal dewasa.

Kedua : Dikenali sebagai Non-insulin dependent diabetics mellitus (NIDDM. Ia keadaan insulin tidak dapat diterima oleh badan. Ini kebanyakannya berlaku di kalangan orang dewasa dan ia sering dikaitkan dengan masalah kegemukan dan tekanan darah tinggi.

Antara gejala diabetes ialah berasa dahaga yang keterlaluan dan kerap membuang air kecil.

Tanda-tanda diabetes jenis kedua mungkin boleh dikesan di peringkat awal antaranya :

1. Berat badan turun tiba-tiba.

2. Berasa kebas pada kaki, jari kaki dan tangan.
 
3. Luka yang lambat sembuh.

4. Lemah dan tidak berdaya.
 
5. Rasa mual dan muntah-muntah.
 
Harus diingat, diabetes boleh merosakkan saluran darah yang kecil di dalam badan, menjejas fungsi ginjal (buah pinggang), mata, kulit, sistem saraf, otot dan jantung. Ujian menunjukkan bahawa apabila pesakit kencing manis menghidap tekanan darah tinggi, kemungkinan besar mereka juga mengalami kerosakan ginjal.

Tambahan pula protin dalam air kencing adalah antara sebab utama pesakit kencing manis menghidap kerosakan ginjal.

Pesakit diabetes juga perlu mengawal tahap gula dalam darah untuk mengelakkan sebarang masalah. Oleh itu, mengesan dan mengawal tekanan darah tinggi dan mengurangkan protein dalam air kencing melalui perubatan adalah sangat penting bagi pesakit kencing manis.
 
Antara golongan yang berisiko tinggi mendapat penyakit ginjal ialah :

1. Mereka yang mengalami berat badan berlebihan.

2. Mempunyai ahli keluarga yang berpenyakit diabetes dan penyakit ginjal di dalam sejarah ahli keluarga.

3. Berusia lebih daripada 40 tahun.
 
4. Pesakit yang tidak mengawal diabetes dengan baik.

5. Pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi, air kencing berprotein atau paras kolestrol yang tinggi.

6. Kurang pengawalan diabetes boleh menyebabkan masalah perubatan seperti buta, penyakit ginjal, mandul, gangguan sistem saraf dan kehilangan anggota badan akibat terpaksa dipotong.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...