Thursday, February 4, 2010

LELAKI BUNCIT RISIKO DIABETES


PERUT yang kempis dan kemas bukan saja menambah keyakinan diri seorang lelaki malah yang lebih penting ia mencerminkan kesihatan pemilik tubuh tersebut.

Kajian membuktikan lelaki yang memiliki tumpuan lemak di kawasan perut atau disebut juga memiliki bentuk tubuh seperti buah epal, lebih berisiko terkena penyakit diabetes, angin ahmar dan jantung.

Sebelum menafsir kegemukan dan kaitannya dengan beberapa penyakit berbahaya, ada baiknya kaum lelaki mengambil sedikit masa melakukan ujian BMI (indeks jisim tubuh) pada diri sendiri.

Ini disarankan oleh Pakar Gastroentologi di Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari sebelum menentukan tahap kegemukan badan seseorang.

“Untuk mengira BMI, berat (kilogram) dibahagikan dengan ketinggian (meter), apabila individu itu berada pada tahap lebih daripada 30 maka, dikategorikan sebagai berat badan berlebihan atau obesiti.

“Bagaimanapun, ia kadang kala tidak begitu tepat terutama bagi orang yang berotot iaitu mereka yang kuat bersenam. Apa yang terjadi ialah BMI golongan ini mungkin tinggi iaitu antara 25 hingga 30, tetapi mereka ini dikategorikan sihat.

“Masalahnya ialah pada lelaki yang kurus, tetapi memiliki perut yang buncit atau dalam istilah perubatannya dipanggil central obesity.

“Bagi masyarakat Asia, saiz ukur lilit yang ideal bagi lelaki ialah kurang daripada 90 sentimeter (sm) manakala bagi wanita ialah 80 sm, jika lebih dari itu dipanggil central obesity,” ujar beliau ketika ditemui di kliniknya, baru-baru ini.

Walaupun ramai yang mempunyai stigma bahawa perut lelaki yang buncit berkait rapat dengan penyakit jantung, Dr. Malik merungkai pernyataan itu dengan menyatakan buncit sebenarnya memberi lebih risiko untuk mendapat penyakit diabetes.

“Memang perut buncit dikatakan berkaitan dengan penyakit jantung tetapi ia sebenarnya bukanlah secara langsung. Kalau dikatakan kegemukan badan keseluruhan, memang secara langsung berkaitan dengan penyakit jantung.

“Sindrom tersebut dinamakan metabolic syndrome. Antara penyakit lain yang berisiko secara tidak langsung ialah darah tinggi, pradiabetes dan kolesterol tinggi.

“Semua ini ada berkaitan dengan jantung, contohnya kalau ada darah tinggi, individu itu boleh terkena serangan jantung, diabetes pun sama boleh terkena serangan jantung atau mungkin juga kegagalan fungsi jantung,” jelas Dr. Malik.

Tambah beliau, buncit disebabkan oleh pemakanan yang tidak seimbang dan kurangnya bersenam.

Kedua-dua ini menyebabkan lelaki berisiko tinggi menghidap kencing manis dan masalah kolesterol. Yang pasti masalah ini adalah antara faktor risiko untuk mendapat masalah jantung.

“Secara umumnya, seorang lelaki itu harus kurangkan makanan yang bergoreng dan kolesterol tinggi.

“Kurangkan pemakanan yang berunsur karbohidrat seperti nasi putih, roti putih, kentang, kuih-muih, kurangkan pemakanan yang berkalori tinggi seperti berlemak atau bergoreng. Disyorkan mengambil lebih sayur-sayuran dan buah-buahan seperti epal, betik, buah limau namun tidak digalakkan ialah tembikai, mangga dan durian.

“Mereka juga digalakkan memakan lebih protein daging putih seperti ikan dan ayam (jangan yang bergoreng) serta kurangkan mengambil daging merah.

“Jangan mengambil minuman yang bergas, kerana ia mengandungi gula yang terlalu tinggi.

Gaya hidup pula mesti berubah dengan melakukan senaman 30 minit sehari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman yang disyorkan ialah berjalan secara cepat. Kurangkan penggunaan lif, banyakkan naik tangga,” hurai beliau.

Sekiranya seseorang lelaki itu telah disahkan menghidap penyakit diabetes atau jantung, mereka masih boleh melakukan senaman dan mengamalkan corak pemakanan yang lebih sihat, cuma sebagai tambahan, mereka perlu mengambil ubat-ubatan tertentu untuk mengawal penyakit mereka.

“Bila seorang lelaki semakin meningkat usia, hormon testosteron semakin berkurangan, jadi mereka lebih cenderung untuk gemuk terutama di bahagian pinggang.

Secara kesimpulannya, orang buncit sebenarnya meninggikan risiko untuk mendapat penyakit diabetes jika ia tidak dikawal melalui pemakanan dan senaman.

KEHAMILAN SIHAT UNTUK PESAKIT DIABETES

 
Oleh : PROF. MUSTAFFA EMBONG

SEBELUM hamil, anda telah dipantau oleh kumpulan pakar penjagaan diabetes mengenai rancangan penjagaan prakehamilan untuk menguruskan diabetes anda dan masalah-masalah kesihatan lain.

Sekarang, apabila anda telah hamil, anda perlu terus berkerjasama dengan kumpulan pakar-pakar ini bagi memastikan semula matlamat kehamilan anda.

Selain memastikan perhubungan yang kerap dengan mereka melalui telefon atau e-mel, anda juga perlu berjumpa dengan kumpulan pakar penjagaan diabetes anda sekurang-kurangnya sekali setiap satu hingga dua bulan.

Pertemuan haruslah lebih kerap pada permulaan kehamilan dan apabila hampir kelahiran, untuk memastikan tahap kesihatan anda dan bayi.

Pakar perunding diabetes akan membimbing anda menguruskan paras glukosa darah supaya sentiasa berada dalam paras yang disarankan sepanjang tempoh kehamilan.

Pakar obstetrik pula akan memantau perkembangan bayi dan sebarang komplikasi-komplikasi kehamilan yang mungkin berlaku seperti praeklampsia, satu keadaan yang berkait dengan tekanan darah tinggi.

Jika tidak dirawat segera, ia boleh menimbulkan satu keadaan serius yang dikenali sebagai eklampsia, yang membahayakan nyawa ibu dan bayi. Jika praeklampsia serius berlaku, bayi anda mungkin perlu dilahirkan lebih awal.

Secara umumnya, para ibu yang mengawal diabetes dengan baik terutamanya yang tidak menggunakan bantuan insulin, dapat melahirkan bayi secara normal dengan selamat.

Bagaimanapun, kebanyakan pakar obstetrik mencadangkan supaya para ibu yang menghidap diabetes melahirkan bayi mereka lebih awal iaitu di antara minggu 38 ke 39, terutamanya apabila bayi semakin membesar.

* Memastikan Penambahan Berat Badan Sesuai

Secara umum, pakar diet akan mengesyorkan pengambilan protein dan kalori serta pengambilan vitamin dan mineral yang secukupnya seperti asid folik, zat besi dan kalsium.

Anda juga akan dinasihatkan supaya mengambil sajian secara teratur dengan kuantiti karbohidrat yang secukupnya untuk mengelak dari terjadinya ketosis.

Selain itu, ambil snek ringan di antara sajian utama dan sebelum tidur untuk mengelakkan hipoglisemia (paras glukosa darah yang sangat rendah). Ketika hamil, anda perlu makan secara teratur bagi memastikan penambahan berat badan sesuai tercapai.

Untuk mencapai matlamat ini, anda perlu menyemak dahulu indeks jisim tubuh dengan cara mengira berat badan dalam kg dan dibahagikan dengan kuasa dua ketinggian dalam meter.

Jika keputusan yang diperoleh adalah di antara 20 dan 25 sebelum anda hamil, anda perlu menambah berat badan dalam lingkungan 9 hingga 16kg semasa tempoh kehamilan.

Jika IJT anda sebelum hamil adalah di antara 26 dan 29, anda disarankan menambah berat badan sebanyak 7 hingga 11kg.

Jika IJT melebihi 30, anda perlu menambah berat badan paling banyak 6 kg sahaja, manakala IJT yang kurang dari 20 bermakna penambahan sebanyak 12 hingga 18kg.

* Kekal Aktif Secara Fizikal

Senaman yang ringan ke sederhana dan kerap semasa kehamilan dapat membantu anda mencapai berat badan kehamilan yang sesuai dan mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang disarankan.

Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati dengan jenis latihan yang ingin dilakukan. Dengan berat tambahan yang anda perlu tanggung di bahagian pinggang, adalah baik sekiranya anda mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan anda terjatuh.

Cuba aktiviti seperti berjalan cergas, regangan badan dan mengangkat pemberat ringan.

* Tingkatkan Pengambilan Insulin

Semua wanita yang hamil, sama ada menghidap diabetes atau tidak, akan memerlukan lebih insulin berbanding sebelum kehamilan.

Ini disebabkan oleh plasenta yang membekalkan zat-zat nutrien dan tenaga kepada bayi turut menghasilkan hormon-hormon yang bertindak bertentangan dengan insulin menyebabkan badan memberikan lebih rintangan terhadap insulin.

Apabila plasenta semakin membesar, lebih banyak insulin diperlukan untuk mengatasi rintangan ini dan mengekalkan paras glukosa darah pada paras normal.

Jika anda penghidap diabetes tanpa insulin yang mencukupi, badan akan mula membakar lemak untuk menghasilkan tenaga menyebabkan glukosa darah dan keton meningkat tinggi di dalam aliran darah anda dan akan tertumpah ke dalam urin.

Jika tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan DKA (ketoasidosis diabetes) yang boleh membawa maut kepada ibu dan bayi. Oleh itu, adalah amat penting bagi anda untuk mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang disarankan sepanjang masa kehamilan iaitu melalui diet yang terancang, senaman yang kerap dan jika perlu, suntikan insulin.

Bagaimanapun, jika anda mengambil insulin tetapi ada mengalami muntah-muntah semasa trimester pertama kehamilan, doktor mungkin mengurangkan sedikit sukatan insulin anda.

Anda mungkin mendapati bahawa pengawalan diabetes menjadi stabil apabila anda memasuki trimester kedua kehamilan (empat hingga enam bulan) walaupun anda masih perlu meningkatkan sukatan insulin.

Menjelang trimester ketiga kehamilan (tujuh hingga sembilan bulan), diabetes anda kebiasaannya sudah stabil pada ketika ini. Tetapi, anda mungkin memerlukan insulin sebanyak dua kali ganda berbanding pada peringkat permulaan hamil.

* Kerap Memantau Paras Glukosa Darah Anda

Sebagai pesakit diabetes yang hamil, mengekalkan paras glukosa darah dalam lingkungan yang disarankan sepanjang kehamilan adalah amat penting. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan komplikasi kepada kedua-dua ibu dan bayi.

Apabila anda hamil, paras sasaran glukosa darah yang ditetapkan adalah lebih ketat berbanding paras bagi orang biasa yang menghidap diabetes. Bagi menjamin paras yang ditetapkan, anda perlulah memeriksa paras glukosa darah anda sebaik-baiknya empat ke enam kali sehari.

Secara ideal, anda perlu memeriksa paras glukosa darah secara rutin iaitu sebelum dan dua jam selepas sajian utama (sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam) dan kadangkala pada waktu malam.

Jika anda mengambil insulin, adalah penting untuk melakukan pemeriksaan sebelum dan selepas bersenam. Paras glukosa darah anda akan berubah bergantung kepada apa yang anda makan, masa pengambilan insulin dan aktiviti fizikal yang anda lakukan.

Adalah baik jika anda membawa sedikit gula-gula atau biskut bersama anda, jikalau anda mengalami hipoglisemia.

Pengawalan paras glukosa darah dengan ketat di awal kehamilan (10-12 minggu pertama) adalah amat kritikal untuk bayi anda yang sedang membesar.

Struktur badan bayi sedang membentuk dan peningkatan glukosa darah pada tempoh ini boleh menyebabkan kerosakan struktur utama badan bayi dan akan menyebabkan kecacatan ketika kelahiran atau kematian sebelum lahir.

* Ambil Ubat Yang Dipreskripsi

Selain insulin, anda juga mungkin perlu mengambil ubat untuk masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi atau paras kolesterol darah tinggi. Sentiasalah pastikan dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan semasa kehamilan untuk memastikan ia tidak membahayakan bayi di dalam kandungan.

* Elakkan Merokok Dan Alkohol

Mengambil minuman beralkohol atau mengambil dadah yang diharamkan ketika hamil boleh menjejaskan bayi anda. Elakkan juga dari merokok atau terdedah kepada asap rokok walau sebagai perokok pasif.

* Kehamilan Dan Kelahiran Yang Sihat

Mengandung dan menghidap diabetes pada masa yang sama boleh menjadi satu cabaran yang memerlukan komitmen serta disiplin yang tinggi. Bagaimanapun, dengan kepakaran pasukan penjagaan diabetes anda dan sokongan daripada orang yang tersayang, tiada sebab mengapa anda tidak dapat menikmati kehamilan yang normal dan pengalaman melahirkan bayi yang sihat.

* Senarai Kehamilan Yang Sihat

Apa yang paling penting ketika kehamilan adalah menguruskan paras glukosa darah serta masalah kesihatan lain dengan baik supaya anda sentiasa berada dalam keadaan yang optimum untuk melalui kehamilan dan melahirkan bayi yang sihat.

Untuk mencapai matlamat itu, berikut adalah satu senarai semak yang anda boleh lakukan :
 
1. Saya memeriksa paras glukosa darah dengan kerap setiap hari dan ia berada dalam lingkungan yang disarankan oleh doktor (berpuasa 3-5 mmol/L dan 4-7 mmol/L dua jam selepas makan)
 
2. Saya mengekalkan diet yang seimbang (mempunyai kalori, protein, karbohidrat, serat dan lemak, vitamin dan mineral yang secukupnya) seperti yang dinasihatkan oleh pakar diet.
 
3. Saya aktif secara fizikal dan melakukan senaman ringan ke sederhana secara kerap.
 
4.Saya tidak mengambil alkohol (atau dadah yang diharamkan) atau menghisap rokok.
 
5. Saya mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsikan dan telah dipastikan dengan doktor bahawa ia adalah selamat kepada bayi dalam kandungan.
 
6. Saya sentiasa berhubung rapat dengan kumpulan pakar penjagaan diabetes dan telah berjumpa dengan doktor mengikut jadual yang ditetapkan.

Sekiranya kesemua jawapan anda berbentuk ‘ya’, tahniah! Anda semestinya di dalam perjalanan ke arah kehamilan yang sihat, tanpa komplikasi ketika kelahiran.
 
 

ANCAMAN GULA


Oleh : NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

RAMAI mengeluh apabila masalah kekurangan gula masih tiada penyelesaian walaupun pelbagai langkah diambil tetapi jika dilihat dari sudut positif, inilah masa terbaik untuk kita memulakan tabiat pemakanan yang lebih sihat.

Pakar pemakanan menjelaskan gula tidak mempunyai khasiat dan ia digunakan hanyalah untuk memberi atau menaikkan rasa makanan. Malah keinginan untuk menikmati rasa manis sebenarnya adalah tabiat yang dipupuk sejak kecil.

Penambahan gula dalam makanan atau minuman pula hanyalah sebagai memenuhi cita rasa sedangkan hakikatnya kita masih boleh hidup dengan baik, sihat, cergas dan produktif tanpa gula kerana glukos iaitu bentuk gula paling ringkas terdapat dalam hampir semua makanan.
 
Semua orang tahu pengambilan gula berlebihan tidak baik untuk kesihatan tetapi tidak ramai yang mampu menyekat kemasukan gula ke dalam badan. Sememangnya gula membekalkan tenaga segera tetapi kebanyakan kita mengambil terlalu banyak gula daripada jumlah yang diperlukan.

Kajian Kementerian Kesihatan baru-baru ini mendapati rakyat Malaysia mengambil 125 miligram (mg) gula sehari, lebih dua kali ganda daripada keperluan harian iaitu hanya 50 mg sehari.

Ini bermakna, tanpa sedar kita secara tidak langsung mendedahkan diri kepada pelbagai komplikasi kesihatan akibat gula berlebihan. Peningkatan jumlah pesakit kencing manis perlu dijadikan iktibar untuk kita memulakan penjagaan makanan dan amalan kesihatan.

Walaupun gula bukan penyebab kencing manis tetapi ini adalah penyakit utama yang berkaitan dengan gula. Secara semula jadi sel badan tidak boleh menyerap glukos dan ia memerlukan bantuan hormon insulin dari pankreas.

Di atas permukaan sel ada penerima insulin yang membolehkan glukos diserap ke dalam sel. Bagaimanapun di kalangan pesakit kencing manis, sel gagal untuk mengenali insulin dan ini menyebabkan lambakan glukos dalam darah sehingga ia terpaksa dibuang melalui air kencing.

Malangnya masalah kesihatan akibat kencing manis tidak terhenti di situ terutama di kalangan pesakit yang tidak mengawal paras glukos dalam darah mereka. Ia boleh mendatangkan pelbagai komplikasi lain seperti kegagalan buah pinggang yang memaksa pesakit menjalani rawatan hemodialisis.

Ini adalah gejala yang biasa jika kencing manis mereka tidak terkawal. Malah penghidap kencing manis juga berisiko tinggi kehilangan penglihatan atau retinopati diabetes.

Gula berlebihan akan menyumbang kepada pembentukan katarak (tiga hingga empat kali ganda berbanding orang sihat). Malah gula berlebihan ini juga mengurangkan keupayaan kanta mengeluarkan cecair dari mata dan akibatnya pandangan menjadi kabur.

Kehadiran gula walaupun dalam kuantiti yang kecil boleh menjejaskan kebolehan sistem pertahanan badan untuk menentang jangkitan. Apabila paras gula dalam darah tinggi, ia akan merangsang pankreas menghasilkan lebih banyak insulin.

Malangnya paras insulin ini akan kekal tinggi walaupun semua gula sudah digunakan. Insulin berlebihan ini pula akan menjejaskan penghasilan hormon pertumbuhan yang mengawal sistem pertahanan badan. Bukan saja daya ketahanan badan terjejas tetapi pada masa sama pertumbuhan seseorang itu turut tergendala.

Oleh kerana gula (glukosa) adalah satu bentuk tenaga yang mudah digunakan, maka ada yang mengaitkannya dengan risiko diserang kanser payudara, usus dan pankreas. Terlalu banyak insulin juga dipercayai menggalakkan pertumbuhan sel kanser terutama pada payudara, usus, paru-paru, ovari, perut dan prostat. Bagaimanapun kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengesahkan dakwaan ini.

Namun paling ketara ialah pengambilan gula berlebihan boleh merosakkan gigi. Berdasarkan laporan yang diterbitkan dalam Food Facts Asia, dalam keadaan biasa bakteria dalam mulut akan menggunakan bahan-bahan makanan terutama karbohidrat (dari gula, kanji atau minuman manis) untuk membentuk asid.
 
Asid inilah yang akan melarutkan kalsium dan fosfat daripada lapisan enamel (iaitu lapisan luar gigi) dan menyebabkan gigi kehilangan mineral. Kedua-dua mineral ini akan bercampur dengan air liur dan mengembalikan kalsium serta fosfat kepada gigi. Kerosakan gigi akan berlaku sekiranya proses kehilangan minderal lebih pantas daripada mengembalikan mineral ke gigi.
 
Ia boleh berlaku jika air liur tidak dapat meneutralkan asid dalam mulut iaitu apabila seseorang itu kerap makan dan minum. Kekerapan makan atau minum mengakibatkan air liur tidak cukup masa untuk menjalankan tugasnya, dan akhirnya gigi akan menjadi lemah dan berlubang.

Sebaliknya kita boleh menggunakan pemanis tiruan seperti aspartame, sakarin atau xylitol sebagai pengganti gula. Ia memberikan rasa manis dan mengurangkan kesan negatif gula.

Pemanis tiruan tidak akan merosakkan gigi kerana ia tidak mengandungi karbohidrat malah ia jauh lebih manis berbanding gula pada kuantiti yang sama. Justeru pemanis tiruan juga baik untuk pesakit kencing manis bagi mengawal paras gula dalam darah mereka.


LANGKAH AWAL MENGESAN DIABETES


BADAN kita memproses karbohidrat di dalam makanan dan menukarnya kepada glukos, iaitu makanan utama untuk sel badan. Diabetes atau kencing manis pula berlaku apabila badan kita kekurangan hormon yang dikenali sebagai insulin.

Insulin membantu tisu dan organ untuk menggunakan glukos di dalam saluran darah. Oleh itu apabila insulin berkurangan di dalam badan, paras glukos akan meningkat dalam saluran darah, sekali gus memungkinkan seseorang menghidap diabetes.

Sebenarnya, diabetes dapat dikesan melalui ujian glukos dalam darah. Ada dua jenis diabetes :
Pertama : Dikenali sebagai Insulin-dependent diabetics melitus (IDDM). Ia keadaan kekurangan insulin di dalam badan. Ini kebanyakannya berlaku di kalangan remaja dan peringkat awal dewasa.

Kedua : Dikenali sebagai Non-insulin dependent diabetics mellitus (NIDDM. Ia keadaan insulin tidak dapat diterima oleh badan. Ini kebanyakannya berlaku di kalangan orang dewasa dan ia sering dikaitkan dengan masalah kegemukan dan tekanan darah tinggi.

Antara gejala diabetes ialah berasa dahaga yang keterlaluan dan kerap membuang air kecil.

Tanda-tanda diabetes jenis kedua mungkin boleh dikesan di peringkat awal antaranya :

1. Berat badan turun tiba-tiba.

2. Berasa kebas pada kaki, jari kaki dan tangan.
 
3. Luka yang lambat sembuh.

4. Lemah dan tidak berdaya.
 
5. Rasa mual dan muntah-muntah.
 
Harus diingat, diabetes boleh merosakkan saluran darah yang kecil di dalam badan, menjejas fungsi ginjal (buah pinggang), mata, kulit, sistem saraf, otot dan jantung. Ujian menunjukkan bahawa apabila pesakit kencing manis menghidap tekanan darah tinggi, kemungkinan besar mereka juga mengalami kerosakan ginjal.

Tambahan pula protin dalam air kencing adalah antara sebab utama pesakit kencing manis menghidap kerosakan ginjal.

Pesakit diabetes juga perlu mengawal tahap gula dalam darah untuk mengelakkan sebarang masalah. Oleh itu, mengesan dan mengawal tekanan darah tinggi dan mengurangkan protein dalam air kencing melalui perubatan adalah sangat penting bagi pesakit kencing manis.
 
Antara golongan yang berisiko tinggi mendapat penyakit ginjal ialah :

1. Mereka yang mengalami berat badan berlebihan.

2. Mempunyai ahli keluarga yang berpenyakit diabetes dan penyakit ginjal di dalam sejarah ahli keluarga.

3. Berusia lebih daripada 40 tahun.
 
4. Pesakit yang tidak mengawal diabetes dengan baik.

5. Pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi, air kencing berprotein atau paras kolestrol yang tinggi.

6. Kurang pengawalan diabetes boleh menyebabkan masalah perubatan seperti buta, penyakit ginjal, mandul, gangguan sistem saraf dan kehilangan anggota badan akibat terpaksa dipotong.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...